Gambar hiasan
Gambar hiasan
Ahmad Hasbi

Seremban: Seorang juruteknik tidak menyangka pautan ke aplikasi Whatsapp daripada laman web sebuah bank tempatan rupanya taktik licik digunakan sindiket pinjaman tidak wujud.

Lelaki yang berusia 40 tahun itu mengalami kerugian RM11,000 selepas terpedaya oleh dua individu yang memperkenalkan diri sebagai Jefri dan Maikel dari bahagian pinjaman peribadi bank berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abdul Ghani berkata, mangsa membuat empat transaksi ke empat akaun berbeza pada 2 Disember lalu.

"Ketika berada di tempat kerja di sebuah bengkel dekat Senawang, di sini, mangsa melayari enjin pencarian Google untuk mencari laman sebuah bank tempatan pada 29 November lalu.

"Apabila masuk ke laman berkenaan, mangsa menekan satu pautan atau 'link' Whatsapp (017-3708518, 013-8252146) untuk bertanyakan mengenai cara pinjaman wang peribadi bank berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya berurusan dengan dua individu bernama Jefri dan Maikel yang mengaku sebagai kakitangan bank berkenaan dan akan menguruskan pinjaman yang akan dibuat mangsa sebanyak RM40,000.

"Sindiket lalu meminta segala butiran peribadi sebelum mangsa menghantarnya melalui Whatsapp. Sindiket juga meminta bayaran sebanyak RM2,000 untuk urusan 'scoring' dan pengadu membuat pindahan wang pada jam 11.54 pagi.

"Mangsa kemudian diminta membuat tiga pemindahan berjumlah RM2,000; RM4,000 dan RM3,000 dengan memberikan alasan supaya pinjaman dapat diluluskan dan mangsa membuat transaksi semua pembayaran diminta pada hari sama ke tiga lagi akaun berbeza," katanya.

Aibee berkata, mangsa kemudian diminta untuk membuat pembayaran sebanyak RM3,060 tujuan 'scoring' dan mengaktifkan akaun, namun juruteknik berkenaan tidak melakukannya kerana rasa perkara itu adalah satu penipuan.

"Lelaki berkenaan lalu ke bank berkenaan sebelum pihak bank memaklumkan dua lelaki yang menyamar bukan kakitangan mereka dan urusan dibuat adalah satu penipuan sebelum mangsa membuat laporan polis pada 3 Disember lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 10:43 AM