Gambar hiasan
Gambar hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS menahan seorang lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di Jalan Nb 2 1/4, Taman Nusa Bestari 2, Iskandar Puteri, tengah malam tadi.

Serbuan 12.15 tengah malam itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, mereka yang ditahan adalah seorang lelaki berperanan sebagai juruwang berusia 24 tahun.

“Turut ditahan tiga wanita, dua warga Vietnam dan seorang warga Indonesia semuanya berusia antara 26 hingga 40 tahun.

“Dalam serbuan itu, polis turut memeriksa dua wanita tempatan sebagai pekerja di premis berkenaan dan pelanggan iaitu tujuh lelaki dan tiga wanita,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas monitor, pemain DVD, mikrofon, CD pelbagai lagu dan resit perniagaan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 2:02 PM