TIKAR yang terdapat di bawah pokok.
TIKAR yang terdapat di bawah pokok.
Izlaily Nurul Ain Hussein


HANYA beralaskan tikar dan lampu telefon bimbit, aktiviti berunsurkan pelacuran di bawah pokok dibongkar Polis Daerah Iskandar Puteri dalam kawasan hutan dekat Kampung Pok Besar, Tanjung Kupang di sini.

Kegiatan tidak bermoral itu terbongkar hasil serbuan jam 9 malam kelmarin yang menyaksikan tiga individu ditahan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan lelaki warga Indonesia berusia 35 tahun yang tidak mempunyai pasport kerana disyaki bertindak sebagai penjaga ‘sarang maksiat’ itu.

Katanya, dua wanita warga Indonesia yang masing- masing berusia 40 dan 34 tahun turut ditahan dalam serbuan itu.

“Ketika tangkapan dibuat, kami turut merampas dua gulung tisu, dua botol minyak disyaki minyak pelincir dan wang tunai RM100,” katanya.

Hasil siasatan awal, kawasan hutan itu yang disyaki menjadi lubuk aktiviti berunsurkan pelacuran dipercayai aktif sejak sebulan lalu.

Menurutnya, sasaran pelanggan kumpulan itu adalah pekerja warga asing di kawasan berkenaan dengan mengenakan bayaran serendah RM50.

Katanya, waktu beroperasi kumpulan itu adalah antara 8 malam hingga 1 pagi.

“Kami menahan mereka bagi menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan, Seksyen 372B kanun sama dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 7:00 AM