NAZRI (kanan) bersama Mahadi (dua dari kiri) menunjukkan kertas kerja bertajuk 'Transformasi Pemodenan Nelayan Tradisional Pulau Pinang' pada sidang media di Batu Maung, Georgetown, hari ini. FOTO Danial Saad.
NAZRI (kanan) bersama Mahadi (dua dari kiri) menunjukkan kertas kerja bertajuk 'Transformasi Pemodenan Nelayan Tradisional Pulau Pinang' pada sidang media di Batu Maung, Georgetown, hari ini. FOTO Danial Saad.
Zuhainy Zulkiffli


KOMUNITI nelayan khususnya yang terbabit dalam projek tambak laut di perairan selatan Pulau Pinang memohon pertemuan secara tertutup dengan kerajaan negeri bagi membincangkan isu berkenaan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Nazri Ahmad berkata, pertemuan itu penting bagi membolehkan pihak nelayan membentangkan cadangan mereka menerusi Pelan Transformasi Pemodenan Nelayan dalam memastikan nasib mereka terbela sekiranya projek itu diteruskan.

Beliau berkata, pelan itu mengambil masa empat bulan untuk disiapkan dan kandungannya bagi memastikan nasib dan masa depan nelayan dapat ditransformasikan menjadi lebih moden selaras dengan rancangan tambak laut mahu dijalankan.

“Menerusi pelan itu, diharap kerajaan negeri dapat membantu menyediakan bot nelayan dan jeti lebih moden memandangkan kami terpaksa menangkap ikan di kawasan laut lebih jauh selepas kawasan ini ditambak kelak.

“Surat permohonan kepada kerajaan negeri sudah dihantar tiga hari lalu,” katanya dalam sidang media di Batu Maung, Georgetown, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Mahadi Md Rodzi.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika ini merancang menambak laut di Permatang Damar Laut bertujuan membentuk tiga pulau buatan yang kemudiannya akan dijual sebagai modal bagi menampung kos Pelan Induk Pengangkutan (PIP) negeri yang dianggarkan bernilai RM46 bilion.

Mengulas lanjut, Nazri berkata, sehingga kini kerajaan negeri atau perunding projek itu tidak pernah memanggil golongan nelayan berkenaan dalam sebarang perbincangan.

Sebelum ini, beliau berkata, pihaknya pernah menghantar dua permohonan kepada kerajaan negeri terdahulu bagi bertemu dan berbincang, namun tidak mendapat maklum balas.

“Kawasan akan ditambak itu adalah lubuk penting bukan hanya kepada lebih 5,000 nelayan di negeri ini, malah nelayan dari negeri lain turut mencari rezeki di situ.

“Kami adalah pihak terjejas teruk dengan rancangan projek itu, malah kawasan bakal ditambak kaya dengan sumber marin seperti ikan, udang dan ketam di negeri ini.

“Sebab itu kami bimbang dengan masa depan kerana rancangan menambak laut di kawasan itu akan menutup periuk nasi dan punca rezeki kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 10:00 PM