Laporan portal Harian Metro mengenai kanak-kanak positif difteria di Johor Bahru
Laporan portal Harian Metro mengenai kanak-kanak positif difteria di Johor Bahru
Izlaily Nurul Ain Hussein


LIMA kanak-kanak positif jangkitan kuman difteria yang dikuarantin di Wad Pediatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, dilaporkan stabil.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahrudin Jamal berkata, sehingga jam 12 tengah hari ini, semua kanak-kanak itu masih dirawat di wad berkenaan.

“Semua kanak-kanak yang dirawat di Wad Pediatrik HSA, masih di wad dan mereka dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dr Sahrudin berkata, setakat ini, tiada lagi mana-mana individu yang dipercayai berhubung secara aktif dengan kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia akibat difteria, diperiksa.

“Setakat ini, tiada lagi yang berhubung secara aktif dengan mangsa,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan lima kanak-kanak, termasuk kakak kepada kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang meninggal dunia akibat difteria Khamis lalu, turut disahkan positif jangkitan kuman terbabit.

Lima kanak-kanak yang berusia bawah empat tahun itu antara 52 individu yang pernah berhubungan atau bertemu dengan mangsa hasil saringan dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

Semua mereka dimasukkan ke hospital untuk pengasingan wad selepas mempunyai simptom penyakit berkenaan dan pemberian antibiotik selama 14 hari diberikan kepada semua kanak-kanak itu.

Sehingga kini, ada empat laporan kes difteria, termasuk seorang dewasa dengan kematian membabitkan seorang bayi berusia 14 bulan dan kanak-kanak berusia dua tahun, bermula Oktober tahun lalu hingga 22 Februari lalu.

Berita berkaitan

Lima lagi kanak-kanak positif difteria [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 4:27 PM