Anggota bomba ketika melancarkan operasi mencari lelaki yang dilaporkan hilang semalam. FOTO Ihsan Bomba
Anggota bomba ketika melancarkan operasi mencari lelaki yang dilaporkan hilang semalam. FOTO Ihsan Bomba
Recqueal Raimi


LELAKI kurang siuman yang dilaporkan melarikan diri dalam keadaan tidak berpakaian di hutan berhampiran Kampung Aman Bukit Payung, Tuaran sejak pagi semalam ditemui selamat jam 7 malam tadi.

Bagaimanapun, Mohd Danyal Haneef Chai Abdullah, 40, yang ditemui penduduk kampung di kawasan hutan kira-kira dua kilometer dari lokasi dilaporkan hilang itu, cuba melarikan diri dan mengelak daripada orang kampung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya terpaksa menghentikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seterusnya digantikan kepada khidmat kemanusiaan.

“Bomba sudah berbincang dengan keluarga lelaki terbabit yang tahu keadaan (melarikan diri) setiap kali penduduk kampung menemuinya dan difahamkan orang ramai sudah berusaha memujuknya,” katanya.

Qawie berkata, pihak keluarga juga memaklumkan lelaki itu sering melarikan diri di kawasan jalan raya dan penduduk sering membawanya pulang ke rumah.

Namun ini kali pertama dia melarikan diri ke hutan.

“Operasi SAR dihentikan jam 7.16 malam namun pihak bomba bersedia membantu ahli keluarga jika keadaan bertambah buruk,” katanya.

Semalam, lapan anggota bomba dikerah ke lokasi bersama dua kenderaan termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan lelaki terbabit yang dilaporkan hilang jam 7 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 10:20 PM