OSMAN (tiga kiri) dan Tey (tiga kanan) menggaul Yee Sang pada Majlis Mesra dan Muhibah Sambutan Tahun Baharu Cina 2019. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
OSMAN (tiga kiri) dan Tey (tiga kanan) menggaul Yee Sang pada Majlis Mesra dan Muhibah Sambutan Tahun Baharu Cina 2019. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein


RAKYAT Johor dinasihatkan supaya mengekalkan momentum muafakat yang sedia ada di negeri ini dan mengupayakan setiap masyarakat tanpa membezakan warna kulit dan kepercayaan.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, Johor seharusnya dikagumi daripada aspek jalinan muafakatnya kerana hanya di negeri ini dikenali dengan ‘Muafakat Itu Berkat.’

“Saya berasa sangat gembira apabila melihat kemeriahan sambutan perayaan yang dirai dalam suasana yang majmuk dan sejahtera. Johor seharusnya dikagumi daripada aspek jalinan muafakatnya. Hanya di Johor dan tetap di Johor ‘Muafakat Itu Berkat’.

“Jalinan pemuafakatan antara kaum inilah yang menjadi titik temu kepada pembangunan sesebuah bangsa harmoni dan disegani. Kekalkanlah momentum muafakat yang sedia ada ini untuk kita lebih mara ke hadapan dalam segenapaspek.

“Saya ingin menyeru semua pihak untuk bersama mengupayakan setiap masyarakat tanpa membezakan warna kulit dan kepercayaan. Selagi kita mempunyai keupayaan untuk membantu, bersama-samalah kita membantu tanpa membezakan jurang agama, bangsa dan kepercayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mesra dan Muhibah Sambutan Tahun Baharu Cina 2019 anjuran Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru di Wisma Tiong Hua di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor Bahru, Datuk Seri Tey Kim Chai.

Beliau berkata, dalam mengejar sebuah perubahan suasana dan pembangunan intelek serta teknologi yang lebih drastik dan pantas, masyarakat perlu bersama-sama untuk merayakan keharmonian supaya semakin subur.

“Jangan jadikan kepelbagaian anutan agama, adat resam dan budaya rakyat negara ini sebagai sebuah benteng pemisah dan isu sehingga mencetuskan kesulitan dan perbezaan.

“Sebaliknya, jadikanlah kepelbagaian ini sebagai pendorong untuk kita saling mencari persamaan dan bekerjasama, bertoleransi serta berharmoni.

“Semaikanlah kemakmuran kehidupan rakyat yang unik di Malaysia dan khususnya pemuafakatan di Johor sebagai tunggak perpaduan nasional yang dikagumi malah dicemburui masyarakatantarabangsa,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri kini lebih terbuka dan memberi ruang serta peluang kepada semua rakyat untuk bersama-sama membangunkan negeri ke arah yang lebih mapan dan pembangunan yang bestari.

“Kehidupan kita hari ini saling memerlukan antara satu sama lain, dalam erti kata lain sekecil-kecil manapun bantuan dan sumbangan yang dikongsikan, ia perlu menjadi jaminan yang kita membantu menghidupkan suasana sesama kita.

“Fokus dan komitmen saya serta barisan kepimpinan negeri Johor kepada rakyat adalah lebih bersifat iaitu kebersamaan yang mana semua berhak memberikanpandangan dan berkongsi pendapat dalam segenap aspek terutama kemajuan komuniti dan kaum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 2:02 PM