MUHYIDDIN. FOTO Arkib NSTP
MUHYIDDIN. FOTO Arkib NSTP
Siti A'isyah Sukaimi


MENTERI Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan pertukaran Ketua Pengarah Imigresen baru-baru ini dikatakan ada kaitan dengan pembatalan kontrak Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bernilai RM3.5 bilion.

“Pertukaran Ketua Pengarah Imigresen baru-baru ini dikatakan ada kaitan dengan perkara ini. Saya menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan ini,” katanya.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau menjelaskan, ketika mula dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau diberikan taklimat oleh pegawai kementerian mengenai projek KDN diluluskan kerajaan terdahulu termasuk projek SKIN yang diluluskan secara rundingan terus kepada syarikat Prestariang SKIN Sdn Bhd (PSSB).

“Selaras dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengkaji semula projek bernilai tinggi yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu, saya sudah mengarahkan sebuah jawatankuasa khas mengkaji semula projek SKIN secara terperinci.

“Jawatankuasa ini mendapati terdapat beberapa kelemahan dalam terma perjanjian konsesi dan pelaksanaan projek antaranya, terma kontrak lebih menguntungkan syarikat berbanding kerajaan.

“Selain itu, kos pelaksanaan projek terlalu tinggi dan bakal menjadi beban kewangan kepada kerajaan untuk jangka masa panjang serta skop pelaksanaan projek yang terhad serta tidak memenuhi keperluan sebenar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)," katanya.

LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.

Muhyiddin berkata, berdasarkan faktor ini, pihak jawatankuasa mengesyorkan supaya perjanjian konsesi dengan PSSB ditamatkan dan sebuah sistem baharu iaitu Sistem Imigresen Malaysia Bersepadu dibangunkan.

Katanya, sistem ini akan memenuhi keperluan sebenar JIM di samping memberikan penjimatan yang dianggarkan hampir RM1 bilion kepada kerajaan menerusi perolehan secara tender terbuka yang lebih kompetitif, telus dan adil.

“Berdasarkan syor jawatankuasa ini, saya membentangkan memorandum mengenai cadangan penamatan perjanjian konsesi dengan PSSB dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Oktober lalu dan Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan ini.

“Bagaimanapun, Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 19 Oktober lalu memutuskan supaya penamatan perjanjian konsesi berkenaan ditangguhkan sementara penelitian terhadap keputusan itu dimuktamadkan oleh sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri yang berikutnya mengambil maklum hasil penelitian jawatankuasa ini dan beliau sekali lagi diminta untuk membentangkan memorandum mengenainya.

“Akhirnya, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 November 2018 bersetuju dengan cadangan penamatan perjanjian konsesi dengan PSSB dan satu sistem baharu iaitu Sistem Imigresen Malaysia Bersepadu dilaksanakan menerusi tender terbuka.

“Dakwaan kontrak bagi pelaksanaan sistem baharu ini diberikan kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan seorang pegawai kanan KDN adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 2:37 PM