GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil tiga bekas pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam prosiding bermula pada 20 Jun depan.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, individu terbabit adalah bekas Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman dan bekas Pengarah Kanan Strategi, Dayana Rogayah Omar.

"Sebanyak dua prosiding baharu akan dimulakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri iaitu isu LTAT yang akan dilaksanakan berdasarkan Peraturan Mesyuarat (PM) 77(1)(c) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMMDR).

"Dan isu Pembangunan dan Perolehan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang akan dijalankan berdasarkan PM 77(1)(d) PPMMDR," katanya dalam sidang media di Pusat Media Parlimen hari ini.

Awal Mac lalu, PAC berkata, pihaknya akan memanggil tiga bekas pengurusan LTAT bagi memberi penjelasan berhubung pendedahan rizab kewangan agensi itu yang negatif seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentang pada 6 Mac lalu.

Malah, PAC tidak menolak untuk memanggil Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memandangkan isu itu amat kritikal membabitkan 122,935 pencarum, yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, bagi isu perolehan dan pembangunan NIISe, PAC akan memanggil saksi daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen (JIM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).

Saksi-saksi lain katanya adalah, Cybersecurity, vendor berkaitan dengan sistem tersebut termasuklan Sistem Keselamatan Imigresen Nasional Negara (SKIN).

"Tarikh mula prosiding berhubung isu ini akan ditetapkan kemudian dan Terma Rujukan (TOR) akan diserahkan kepada KDN dan JIM sebagai persediaan untuk menyediakan maklumat berkaitan.

"PAC memutuskan untuk memulakan prosiding ini berikutan jawatankuasa ini terkesan dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan kerajaan membayar RM231.5 juta kepada sebuah syarikat atas penamatan kontrak bagi projek SKIN yang kini dikenali sebagai NIISe," katanya.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, PAC turut risau dan bimbang kerana kebanyakan isu yang disiasat oleh jawatankuasa itu masih mempunyai elemen meragukan.

Antaranya proses pembangunan sesuatu projek yang dimulakan terlebih dahulu walaupun kontrak masih belum dimuktamadkan, kelewatan pelaksanaan projek berpunca daripada pemilihan kontraktor yang tidak cekap dan kelemahan dalam memantau pengrusuan projek.

"PAC berpendapat tindakan korektif yang diambil pihak bertanggungjawab bagi menyelesaikan segala masalah berbangkit seharusnya dipuji.

"Namun, lebih elok jika kesemua projek dilaksanakan secara teratur tanpa sebarang masalah agar rakyat dapat menikmati manfaatnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 1:34 PM