MUHYIDDIN pada majlis Sambutan Hari Penjara ke-229 di Maktab Penjara Kajang. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
MUHYIDDIN pada majlis Sambutan Hari Penjara ke-229 di Maktab Penjara Kajang. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Mohd Firdaus Ibrahim


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mengesahkan Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) masih diberi tanggungjawab mengendalikan Kemudahan Electronic Travel Registration & Informatian (eNTRI).

Untuk rekod, eNTRI adalah sistem tapisan awal keselamatan terhadap pelancong dari negara China dan India ke Malaysia yang dikendalikan sepenuhnya syarikat swasta itu.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, UKSB masih meneruskan perkhidmatan berkenaan kerana kontrak masih belum ditamatkan.

“Kontrak UKSB masih belum ditamatkan, sementara itu ada siasatan dilakukan pihak tertentu bagi meneliti projek itu dan isu lain berkaitan.

Sehingga keputusan muktamad adakah syarikat telah melanggar atau melakukan kesalahan adalah tidak adil orang buat ramalan kita berhentikan (tamatkan kontrak).

Sebab dia ada kontrak dan boleh ambil tindakan kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Majlis Sambutan Hari Penjara ke-229 di Maktab Penjara Kajang, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, syarikat terbabit (UKSB) mengendalikan urusan visa ramai pelancong dan masalah akan timbul sekiranya perkhidmatan berkenaan ditamatkan.

“Kita tidak mahu jejaskan kemasukan pelancong ke Malaysia disebabkan perkara itu. Selagi belum ada keputusan (siasatan) dibuat kita akan teruskan perkhidmatan berkenaan,” katanya.

Menjawab soalan wartawan, Muhyiddin menegaskan, sistem permohonan eNTRI tidak dipertingkatkan.

“Tidak ada upgrading (pertingkat). Kita masih gunakan sistem sedia ada. Yang kita nak upgrate adalah sistem baru imigresen yang lebih baik,” katanya.

Bermula 14 November tahun lalu, Harian Metro mendedahkan kepincangan sistem eNTRI yang dikendalikan UKSB bagi membenarkan rakyat China memasuki Malaysia selama 15 hari kerana pelaksanaannya gagal menepati matlamat sebagai satu sistem saringan atau tapisan awal keselamatan.

Wartawan Harian yang berada di China bagi melakukan siasatan mendapati, sistem tapisan eNTRI meluluskan permohonan beruk yang diberikan identiti palsu, tiket penerbangan palsu dan pasport yang sudah disenarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Pendedahan itu mendapat perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memberitahu Harian Metro bahawa siasatan lanjut sudah dimulakan pihaknya selain mendedahkan rampasan aset seperti rumah berserta wang tunai ratusan ribu ringgit hasil penyelewengan berkenaan.

Susulan pendedahan itu juga, Muhyiddin mendedahkan KDN sedang melakukan siasatan kepada semua vendor berkaitan JIM selain mengumumkan pembatalan SKIN termasuklah eNTRI yang digantung penggunaannya.

Bagaimanapun, pada 11 Januari lalu, KDN menerusi Facebook rasmi mengumumkan eNTRI yang digantung sebelum ini kembali diteruskan berkuatkuasa 15 Januari.

Untuk rekod, UKSB juga diberikan hak ekskusif oleh KDN ketika pemerintahan kerajaan terdahulu bagi memungut fi sebanyak RMB160 atau RM100 bagi setiap permohonan eNTRI yang mana semua hasilnya diperoleh syarikat swasta itu.

Permohonan eNTRI hanya boleh dibuat melalui laman web www.windowmalaysia.my yang hanya boleh dilayari di luar Malaysia.

Sejak eNTRI diperkenalkan pada Mac 2016 hingga September 2018, UKSB sudah mengutip lebih RMB329,337,280 atau RM198,066,952 membabitkan kelulusan permohonan kepada 2,058,358. Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata, KDN sudah memberi hak kepada JIM untuk membangunkan sistem imigresen lebih baik.

“Mereka sedang rangka sistem bertaraf global melalui banyak bengkel yang dilakukan. Bulan 4 hingga 5 dijangka tender terbuka akan dibuka untuk pihak berkaitan menawarkan bekalan dan sebagainya,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Beruk boleh mohon [METROTV]
  • Rampas wang, sita aset
  • Muhyiddin arah semua konsesi imigresen dikaji
  • Kaji semula perjanjian
  • Pastikan visa untuk pelancong sebenar
  • eNTRI ditutup
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 7:37 PM