STATUS yang dikongsi  Friends Of Immigation di Facebook, semalam.
STATUS yang dikongsi Friends Of Immigation di Facebook, semalam.
Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: “Kembalikan semua urusan hal ehwal imigresen kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).”

Itu permintaan warga JIM yang disuarakan Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) Norhisham Murujan.

Beliau berkata, pengurusan keselamatan negara tidak boleh diberi kepada syarikat dan tidak wajar dikompromi.

“Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pasport 1966 menjelaskan hanya pegawai Imigresen saja berkuasa menerima permohonan, memproses, menampal pelekat sebarang pas dan permit serta mengutip bayaran proses atau levi daripada warga asing.

“Data keselamatan dan sistem imigresen adalah hak milik JIM serta kerajaan tidak boleh diberikan kepada syarikat atau vendor,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harian Metro di sini, semalam.

Norhisham berkata demikian ketika mengulas laporan eksklusif akhbar ini sejak Rabu lalu mengenai kelemahan sistem dalam talian permohonan Visa Luar Negara (VLN) yang dikendalikan syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk kemasukan warga China ke Malaysia.

Berikutan itu, Norhisham berkata, JIM wajar diberi peranan sepenuhnya dalam mengurus dan mengawal proses kemasukan warga asing ke negara ini termasuk urusan visa.

“Adalah lebih baik JIM yang menjalankan tugas, tanggungjawab dan amanah dalam memelihara keselamatan serta kedaulatan di negara,” katanya.

Kelemahan sistem dalam talian permohonan VLN terbongkar hasil maklumat yang disalurkan kepada Harian Metro oleh sumber boleh dipercayai dan wartawan akhbar ini turut berada di Guangzhou, China selama beberapa hari untuk memperoleh maklumat lebih terperinci.

Hasil maklumat diperoleh, didapati kemudahan Electronic Travel Registration & Informatian (eNTRI) untuk rakyat China memasuki Malaysia tanpa visa bagi tempoh 15 hari tidak menepati matlamatnya sebagai satu sistem saringan awal, sebagaimana diuar-uarkan.

Sebaliknya, kemudahan itu dikesan sekadar memberi keuntungan atas angin kepada UKSB yang diberi hak eksklusif oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menguruskannya pada 2016 sehingga sekarang.

Syarikat itu diberi akses penuh untuk mengeluarkan eNTRI dikatakan membolot semua hasil kutipan fi iaitu RMB160 atau RM100 untuk satu permohonan tanpa sedikitpun menjadi hasil kerajaan.

Urusan permohonan eNTRI secara dalam talian didapati dilakukan sambil lewa dengan kelulusan dalam masa cuma lima minit dan aspek keselamatan negara nyata diabaikan apabila individu yang disenarai hitam serta ada rekod jenayah turut diberi kelulusan masuk ke negara ini.

Susulan pendedahan itu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin menjelaskan pihaknya kini dalam proses mengkaji semula perjanjian konsesi dengan vendor-vendor yang mengendalikan pelbagai sistem JIM termasuk sistem VLN.

Muhyiddin berkata, pihaknya memandang serius pendedahan Harian Metro dan memberitahu beliau sudah mengarahkan perjanjian konsesi dengan vendor-vendor yang mengendalikan pelbagai sistem imigresen termasuk sistem VLN dikaji semula.

Menurutnya, KDN akan mengemukakan cadangan kepada kabinet untuk menaiktaraf sistem imigresen sedia ada sebelum membangunkan satu sistem baharu yang lebih efisyen.

Mengulas perkara itu, Norhisham berkata pihaknya menghargai usaha KDN itu terutama untuk membangunkan satu sistem baharu yang lebih efisyen.

“Cadangan menaik taraf sistem kita setuju sangat- sangat. Namun jika kepakaran yang mungkin tiada di imigresen, pembabitan pihak luar perlulah seminimum mungkin tanpa kompromi aspek keselamatan.

“Selain itu proses tersebut perlulah dipantau dan diselia secara rapat agar segala keperluan JIM diutamakan,” katanya.

Beliau berkata, KDN juga perlu menetapkan satu batas waktu di mana pada akhirnya segala yang berkaitan pertanggungjawaban hal imigresen perlulah secara total diserah kepada JIM .

Menurutnya, sejak 2014, KPISM melalui pelbagai platform sudah menyuarakan pandangan kepada kerajaan supaya urusan imigresen diserahkan kepada JIM sepenuhnya.

“Dengan kekuatan pegawai lebih dari 12,000 orang termasuk pegawai teknologi maklumat di JIM, KPISM optimis kami mampu membangunkan sistem urus niaga teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara dalaman tanpa membabitkan vendor.

“Hal ini dapat dibuktikan dengan pembangunan sistem in house oleh JIM seperti MyOnline Pasport dan Sistem Maid Online (SMO),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 11:01 AM