Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

DUA taman asuhan kanak-kanak dan sebuah tadika di Labuan diarah tutup seminggu masing-masing bermula Selasa dan Rabu susulan penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pusat penjagaan kanak-kanak itu terletak di kawasan sama di Jalan Jumidar Buyong di sini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, penularan wabak itu dikesan pada minggu kedua persekolahan bulan ini.

“Sebelum penggal persekolahan bermula, jabatan kami meminta pusat penjagaan kanak-kanak untuk memaklumkan kepada ibu bapa supaya membawa anak mereka membuat pemeriksaan HFMD di hospital atau klinik swasta selepas kembali dari tanah besar Sabah atau Sarawak.

“Malangnya sebahagian ibu bapa tidak berbuat demikian, menyebabkan anak mereka terkena penularan penyakit ini,” katanya.

Dr Ismuni berkata, penutupan pusat itu adalah untuk kerja pembersihan di premis berkenaan secara keseluruhan bagi membanteras wabak itu.

Beliau turut mengingatkan klinik swasta untuk segera melaporkan kepada jabatannya bagi kes yang disyaki HFMD.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengasuh Berdaftar Labuan Suzana Karumin berkata, semua taman asuhan kanak-kanak dan tadika yang berdaftar di bawah persatuan itu mesti mematuhi notis amaran Jabatan Kesihatan.

“Kita mesti memastikan semua premis disusun dengan baik dan mematuhi prosedur kebersihan dan penting membuat laporan segera kepada Jabatan Kesihatan bagi kes HFMD di pusat jagaan mereka,” katanya.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun lalu, 246 kes direkodkan bagaimanapun kurang daripada 10 tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak diarah untuk ditutup.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 6:53 PM