KAKITANGAN Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan mengajar kanak-kanak di pusat asuhan cara mencuci tangan dengan betul.  FOTO Ihsan JKNP.
KAKITANGAN Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan mengajar kanak-kanak di pusat asuhan cara mencuci tangan dengan betul. FOTO Ihsan JKNP.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) melakukan pemeriksaan ke atas 66 pusat asuhan kanak-kanak di Pekan melalui Operasi Bersepadu Pemantauan dan Penilaian Penyakit Berjangkit berikutan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, dua kes bergejala membabitkan kanak-kanak berusia empat dan enam tahun sudah dirujuk ke klinik berdekatan.

"Dalam operasi bersepadu membabitkan 10 pasukan dianggotai 29 pegawai dari JKNP dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan itu, beberapa isu yang boleh membawa kepada penularan penyakit berjangkit khususnya HFMD dapat dikesan.

"Antaranya ada dalam kalangan ibu bapa yang masih menghantar anak mereka yang bergejala atau tidak sihat ke taman asuhan kanak-kanak (Taska) dan taman didikan kanak-kanak (Tadika).

"Selain itu amalan kebersihan tangan dan sanitasi masih rendah. Terdapat pusat asuhan tidak menyediakan bilik isolasi selain tidak melaksanakan saringan di pintu masuk," katanya di sini.

Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut memberi penerangan berkenaan situasi dan aktiviti pencegahan serta kawalan HFMD.

Dr Nor Azimi berkata, beberapa penambahbaikan diambil termasuk melakukan pemantauan secara berkala di semua pusat asuhan, melaksanakan 'townhall meeting' sesi kedua peringkat daerah dan memperkasakan saringan di pintu masuk.

Katanya, edaran poster dan risalah HFMD, pengesanan kes aktif (ACD) dan tunjuk cara proses disinfeksi serta sanitasi mengikut garis panduan ditetapkan turut dilaksanakan dari semasa ke semasa.

"Sehingga 12 Mei lalu, sebanyak 1,288 kes HFMD direkodkan di Pahang dengan 138 kes atau 10.7 peratus penularan dikenal pasti dari 27 Taska, Tadika dan prasekolah seluruh negeri ini, manakala 1,150 kes (89.3 peratus) berlaku secara sporadik.

"Kita akan terus melakukan program penerangan ke semua daerah berkaitan penyakit berjangkit dalam kalangan kanak-kanak dan pengukuhan saringan kemasukan ke taska atau tadika," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 8:35 AM