DR R Kunaseegaran (kiri). FOTO Arkib NSTP.
DR R Kunaseegaran (kiri). FOTO Arkib NSTP.
Sarah Zulkifli


BEKAS Pakar Patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) Dr R Kunaseegaran dipenjara 18 bulan dan didenda RM300,000 oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam, hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan pilihan menerima rasuah RM700,000, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

“Mahkamah mendapati perayu (Kunaseegaran) bersalah dan dia disabitkan dengan pertuduhan pilihan,” katanya.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap, 15 September 2015 dan dua tahun penjara jika gagal membayar denda.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut membenarkan rayuan Kunasegaran untuk mengenepikan hukuman dan sabitan penjara lima tahun dan denda RM7 juta oleh Mahkamah Sesyen, tahun lalu.

“Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf ketika mensabitkan hukuman terhadap perayu atas dua pertuduhan dihadapinya sebelum ini.

“Justeru, perayu dibebaskan dan dilepaskan daripada dua pertuduhan asal sebelum ini,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, Kunaseegaran didakwa menerima wang tunai sebanyak RM700,000 daripada Abdul Razar Abdullah yang mana mengetahui bahawa syarikat RAZ Medical Supplies Sdn Bhd, B&S Enterprise dan Caremed Global Sdn Bhd berkepentingan dan mempunyai dengan kerja-kerja rasminya.

Kesalahan itu dilakukan pada 5.15 petang, 15 September 2015 di Empire Shopping Gallery di Petaling Jaya.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Pada 25 Jun tahun lalu, Kunaseegaran dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM7 juta itu selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap dua pertuduhan meminta dan bersetuju menerima suapan RM700,000 daripada pemilik sebuah syarikat pembekal perubatan swasta, enam tahun lalu.

Kunaseegaran dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Meskipun hukuman penjara bagi kesalahan rasuah itu sudah tamat, Kunaseegaran, 56, masih ditahan reman berikutan dia juga tertuduh dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 2:54 PM