TENGKU Abdul Rahman (kiri) menyaksikan upacara raptai Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang keenam di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Kuantan, hari ini. Foto MUHD ASYRAF SAWAL
TENGKU Abdul Rahman (kiri) menyaksikan upacara raptai Istiadat Pemasyhuran Sultan Pahang keenam di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Kuantan, hari ini. Foto MUHD ASYRAF SAWAL
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


LAUNGAN tiga kali Allahu Akhbar dan Daulat Tuanku akan mengiringi istiadat pemasyhuran Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang Keenam di Balairung Istana Abu Bakar, Pekan, jam 11 pagi esok.

Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah bertitah, baginda berpuas hati dengan persiapan majlis bersejarah itu.

Baginda turut hadir menyaksikan majlis raptai istiadat pemasyhuran Sultan Pahang keenam di Balairung Seri Istana Abu Bakar, hari ini bermula seawal jam 3 petang tadi.

Malah, persiapan terakhir majlis yang dikelola pegawai dan petugas Istana Pahang turut menarik perhatian Sultan Abdullah dan isterinya, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan meninjau persediaan terakhir yang diatur.

Baginda dan isteri tiba ke istana jam 4.45 petang dan meluangkan masa hampir satu jam menyaksikan persiapan terakhir istiadat pemasyhuran yang dijangka berlangsung, pagi esok.

Turut berangkat, adinda baginda Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Fahd Mu’adzam Sultan Ahmad Shah, anakanda dan kerabat diraja.

Tengku Abdul Rahman juga bertitah, kira-kira 1,500 tetamu dijangka hadir dengan 800 daripadanya akan berada di Balairung Istana Abu Bakar bagi menyaksikan majlis bersejarah itu.

Baginda memaklumkan, tetamu di kalangan kerabat diraja Pahang, orang kenamaan, ketua jabatan dan rakyat Pahang akan menyaksikan majlis pemasyhuran penuh istiadat itu.

“Semua sudah siap sedia... insya-Allah semua selamat semoga (majlis) esok dirahmati dan diberkati Allah SWT.

“Seingat saya (istiadat) pemasyhuran ini berlangsung dahulu lebih 40 tahun, memang sudah jadi adat. Selalunya ia (diadakan) selepas kemangkatan (Sultan Pahang terdahulu), jadi kita kena readjust (atur kembali)...tetapi Alhamdulillah semua berjalan lancar,” katanya.

Tengku Abdul Rahman turut mengesahkan bahawa Ayahandanya, Sultan Ahmad Shah tidak dapat berangkat pada istiadat pemasyhuran esok atas faktor tertentu.

Sultan Abdullah dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam selepas 30 Ahli Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang yang bermesyuarat di Kuala Lumpur, Jumaat lalu sebulat suara bersetuju berkuat kuasa serta merta.

Istiadat pemasyhuran itu juga akan disiarkan secara langsung oleh RTM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 7:53 PM