TENGKU Abdul Rahman diiring Tengku Temengong Pahang, Tengku Fahd Mua'adzam Sultan Ahmad Shah (belakang kiri) dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kanan). FOTO Muhd Asyraf Sawal.
TENGKU Abdul Rahman diiring Tengku Temengong Pahang, Tengku Fahd Mua'adzam Sultan Ahmad Shah (belakang kiri) dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kanan). FOTO Muhd Asyraf Sawal.
Abdul Razak Raaff dan Amin Ridzuan Ishak


PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Sultan Pahang VI, berkuat kuasa serta merta.

Majlis pemasyhuran itu akan diadakan 11 pagi Selasa ini, di Istana Abu Bakar, Pekan.

Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah bertitah, 30 Ahli Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang yang bermesyuarat di Kuala Lumpur, semalam bersetuju dengan sebulat suara.

“Dalam keadaan sedih dan dukacita saya dan keluarga terima hakikat bahawa ayahanda (Sultan Ahmad Shah) tidak lagi boleh memikul tugas dan tanggungjawab sebagai pemerintah.

“Mesyuarat yang saya pengerusikan semalam juga bersetuju dan meluluskan pindaan Bahagian 1 Perkara 9A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang untuk memberi kuasa kepada ahli majlis jumaah untuk menurunkan takhta raja disebabkan kegeringan yang besar dan berat.

“Pindaan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Pahang ini hanya membabitkan Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang dan tidak perlu dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN),” titah baginda pada sidang media khas di Istana Abu Bakar, hari ini.

Tengku Abdul Rahman juga bertitah, ayahandanya, Sultan Ahmad Shah kini digelar Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah.

Titah baginda, mesyuarat Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang semalam bagaimanapun tidak membincangkan mengenai isu pelantikan Tengku Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Perkembangan terbaru itu juga bakal memungkinkan Tengku Abdullah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI.

Mengikut tradisi giliran, jawatan Yang di-Pertuan Agong selepas Kelantan adalah Pahang diikuti Johor dan Perak, namun keputusan pemilihannya akan dibuat oleh Majlis Raja-Raja.

Majlis Raja-Raja akan mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara pada 24 Januari ini untuk memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Majlis Raja-Raja juga akan mengadakan mesyuarat khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari ini.

Pada 6 Januari lalu, Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV yang dibuat selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Tengku Abdullah yang diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal di sini adalah anak keempat daripada tujuh beradik hasil perkahwinan Sultan Ahmad Shah dengan Almarhum Tengku Ampuan Afzan.

Pada 1 Julai 1975, baginda dilantik Tengku Mahkota Pahang dan dimasyhurkan pada 23 Oktober 1977 di Istana Abu Bakar, Pekan.

Ketika berusia 20 tahun, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dilantik Pemangku Raja Pahang pada 28 April 1979 selepas ayahandanya, Sultan Ahmad Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-VII, pelantikan baginda itu adalah untuk tempoh lima tahun

Baginda dilantik semula sebagai Pemangku Raja Pahang selepas mendapat perkenan Sultan Ahmad Shah yang diisytiharkan dalam surat rasmi Kerajaan Pahang bertarikh 28 Disember 2016.

Tengku Abdullah mendapat pendidikan awal di Sekolah Ahmad, Pekan, Sekolah Rendah St Thomas, Kuantan dan Sekolah Menengah St Thomas, Kuantan

Baginda melanjutkan pengajian di Aldenham School, Elstree Hertfordshire – Advance School (1975-1978), Davies College, London – Advance School (1978-1979), Royal Military Academy, Sandhurst, England (1979-1980) dan Worcester & Queen Elizabeth College (Foreign Affair & Diplomacy) (1981).

Baginda berkahwin dengan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Mac 1986 dan dikurniakan empat putera dan lima puteri.

Berita berkaitan

''Rakyat Pahang gembira, terharu'

''Tengku Abdullah Sultan Pahang Keenam [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 5:27 PM