GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suzalina Halid


BEKAS Pengarah Yayasan Islam Negeri Perlis (YIPs) berpangkat Datuk direman empat hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis atas dakwaan salah guna kuasa membabitkan pembelian tanah bernilai lebih RM700,000, lima tahun lalu.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah, yang memerintahkan suspek direman bermula hari ini sehingga Selasa.

Menurut sumber, pengarah berusia 61 tahun itu didakwa menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan jawatannya berhubung pembelian tanah lot 3039 PM1211, mukim Kurong Anai, Perlis berjumlah RM783,295.92 tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah YIPs.

“Suspek ditahan jam 3 petang kelmarin selepas hadir di Pejabat SPRM negeri Perlis, untuk memberi keterangan membabitkan kes berkenaan.

“Suspek kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar berikutan mengalami masalah kesihatan iaitu sakit jantung, ” katanya ketika dihubungi, di sini.

Suspek berkata, sehingga kini suspek ditahan membabitkan satu kes dan dijangka terdapat kes lain untuk tindakan lanjut selepas mendapat arahan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan tahanan reman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 January 2019 @ 2:45 PM