GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Aizat Sharif


Kangar: Seorang lagi anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung meminta suapan pemerasan sebagai perlindungan kepada bot nelayan di perairan Perlis.

Sumber SPRM berkata, suspek berusia 33 tahun berpangkat Laskar Kanan Maritim itu diminta hadir untuk memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Perlis, di sini jam 11.30 pagi tadi.

Suspek bagaimanapun dilepaskan dengan selepas keterangannya selesai direkodkan tidak lama selepas itu.

SPRM turut memberitahu bahawa terdapat beberapa lagi tangkapan susulan akan dibuat selepas ini.

Perkembangan ini menjadikan tiga anggota APMM Zon Maritim Kuala Perlis dipanggil untuk membantu siasatan SPRM berhubung kes berkenaan dan daripada jumlah itu seorang sahaja direman sehingga hari ini selain seorang lagi suspek yang bekerja sebagai seorang nelayan.

Pada Jumaat lalu, tiga individu termasuk dua anggota APMM Zon Maritim Kuala Perlis berpangkat Laskar Kanan Maritim dan Bintara Muda Maritim dengan Gred T4 dan T5 direman enam hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Namun begitu salah seorang daripada anggota APMM yang direman itu kemudian dibebaskan dengan jaminan SPRM menjadikan hanya dua sahaja suspek yang direman.

Penahanan kesemua suspek termasuk seorang orang awam yang bekerja sebagai nelayan berusia dalam lingkungan 40an itu dilakukan selepas menerima aduan awam mengenai kegiatan yang dilakukan suspek.

Difahamkan, suspek disyaki meminta suapan antara RM1,000 hingga RM3,000 daripada beberapa pemilik atau 'tauke' bot nelayan berkenaan sejak dua hingga ke tiga tahun sebelum ini.

Manakala suspek orang awam itu pula berkerja sebagai nelayan dan dia dipercayai menjadi 'orang tengah' atau 'proksi' kepada anggota APMM terbabit dalam menerima suapan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Perlis, Suzeliyana Hashim mengesahkan penahanan terbaru berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 4:58 PM