MOHD Shukri menjawab soalan ketika ditemui di Kompleks DUN Perlis di Kangar. FOTO Aizat Sharif
MOHD Shukri menjawab soalan ketika ditemui di Kompleks DUN Perlis di Kangar. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif


Kangar: Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menyiasat kes tuntutan palsu susulan penahanan anaknya di Perlis semalam.

"Saya menyerahkan kepada budi bicara SPRM sepenuhnya (dalam siasatan ini), terima kasih.

"Saya tiada gundah gulana, esok saya jawab dalam dewan, itu sahaja setakat ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 di Kompleks DUN Perlis, Persiaran Wawasan, di sini hari ini.

Terdahulu, anak kepada Menteri Besar Perlis itu yang juga Pesuruhjaya Perlis dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis menjadi antara enam individu yang ditahan dan direman sehingga esok oleh SPRM Putrajaya bagi membantu siasatan berhubung pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Suspek berusia 27 hingga 37 ditahan di sekitar Perlis, semalam sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar bagi mendapatkan perintah reman.

Difahamkan, penahanan berkenaan adalah berkaitan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaikpulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022 hingga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 3:59 PM