ORANG ramai memberi bantuan kecemasan kepada mangsa di Pantai Chenang, Langkawi, semalam. FOTO Ihsan Media Sosial
ORANG ramai memberi bantuan kecemasan kepada mangsa di Pantai Chenang, Langkawi, semalam. FOTO Ihsan Media Sosial
Hamzah Osman


LELAKI maut, manakala dua lagi cedera selepas ditimpa pokok kelapa yang tumbang akibat angin kencang di Pantai Chenang, Langkawi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa, Muhammad Sukri Koto Alwi, 24, dilaporkan maut di tempat kejadian.

Manakala, dua lagi mangsa, Chong Win Ken, 26, dan Yong Shui Tian, 24, yang cedera menerima rawatan di Hospital Langkawi (HL).

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ketika kejadian terdapat beberapa orang awam berada di kawasan berkenaan.

“Polis menerima panggilan daripada orang awam mengatakan ada kejadian pokok kelapa tumbang di kawasan pantai berhadapan Mali-Mali Beach Resort bersebelahan Kalut Cafe And Bar di Pantai Chenang.

“Sejurus tiba, anggota polis mendapati jumlah mangsa terbabit seramai tiga orang, iaitu seorang meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi cedera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke HL untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, terdapat satu video berdurasi enam saat menunjukkan saksi kejadian berusaha memberi bantuan kecemasan kepada Muhammad Sukri Koto tular dalam media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 January 2019 @ 10:15 AM