LELAKI berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca
LELAKI berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca
Hamzah Osman


Lelaki warga Perancis yang tiba di Pulau Langkawi dengan memakai gelang merah jambu, petang semalam, kini menjalani kuarantin di Klinik Kesihatan Ayer Hangat (KKAH).

Difahamkan, penempatan lelaki berusia 64 tahun di klinik itu dibuat atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki asing itu tidak dibenarkan kuarantin di rumah sewanya di Pantai Chenang.

"Terkini, lelaki yang memakai gelang merah jambu itu dihantar ke KKAH untuk dikuarantin dan tidak dibenarkan berada di rumah sewanya.

"Ia dibuat atas arahan KKM, elok untuk keselamatan dirinya dan keselesaan orang sekeliling," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, media melaporkan polis memantau kehadiran lelaki warga Perancis dengan memakai gelang merah jambu di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) pada 2.50 petang.

Kehadiran lelaki itu di pekarangan LTAL dikesan orang ramai dan anggota Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebelum melaporkan kepada Balai Polis Padang Matsirat untuk tindakan lanjut.

Laporan itu turut memetik Mohd Iqbal sebagai berkata, ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lelaki itu sudah disaring petugas KKM dan keputusannya negatif virus Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 8:37 AM