NOTIS makluman berhubung kadar baharu sewa kuarters yang tular di media sosial dan aplikasi Whatsapp. FOTO Ihsan Media Sosial
NOTIS makluman berhubung kadar baharu sewa kuarters yang tular di media sosial dan aplikasi Whatsapp. FOTO Ihsan Media Sosial
Suhaila Shahrul Annuar


PERBADANAN Putrajaya (PPj) memutuskan tidak menaikkan kadar sewa kuarters Blok F dan G milik perbadanan itu di Presint 11, Putrajaya kerana tidak sesuai dilaksanakan sekarang.

Presidennya Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, keputusan itu dicapai selepas pihaknya mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Selepas berbincang dengan Kementerian Wilayah Persekutuan, kami membuat keputusan untuk tidak menaikkan kadar sewa kuarters Blok F dan G milik PPj di Presint 11, Putrajaya kerana tidak sesuai dilaksanakan dalam keadaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, notis makluman berhubung kadar baharu sewa kuarters berkenaan tersebar di media sosial dan aplikasi Whatsapp.

Notis itu memaklumkan, kadar sewa bulanan bagi unit kuarters berkenaan yang sebelum ini ditetapkan pada kadar RM400 hingga RM500 akan dinaikkan kepada RM600 hingga RM800.

Notis itu memaklumkan, kenaikan itu perlu memandangkan kos penyelenggaraan dan pembaikan kuarters yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Malah, kadar sewaan hasil nilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan kadar sewaan bagi kawasan sekitar juga mengalami peningkatan.

Isu sama turut mendapat perhatian Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Malah, Khalid menerusi laman Twitternya, semalam memaklumkan beliau turut menerima kunjungan daripada wakil penduduk Blok F dan G, Pangsapuri Putra Damai di Presint 11 berkaitan isu kenaikan sewa itu oleh PPj.

Beliau berjanji merujuk perkara itu dan membincangkan dengan PPj agar penyelesaian terbaik dapat dicapai untuk kebaikan semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 1:59 PM