KHALID. FOTO Nurul Shafina Jemenon
KHALID. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Fairul Asmaini Mohd Pilus


MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Samad menafikan pihaknya mengetahui mengenai tindakan Perbadanan Putrajaya (PPj) yang sebelum ini mengeluarkan notis ingin menaikkan kadar sewa kuarters Blok F dan G di Presint 11, Putrajaya.

Khalid berkata, kementeriannya hanya mengetahui mengenai perkara itu selepas notis terbabit dikeluarkan.

“Kenaikan harga sewa itu tidak dirujuk kepada kementerian terlebih dahulu dan ia dilakukan oleh pihak pengurusan (PPj).

“Kita bagaimanapun sudah minta ia ditarik balik dan mereka juga sudah berbuat demikian.

“Apapun, isu itu bukan sengaja disabotaj atau apa kerana presiden mereka pun baharu dilantik, jadi banyak benda boleh berlaku,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Khalid mengulas mengenai tindakan PPj yang sebelum ini mengeluarkan notis untuk menaikkan harga sewa di kawasan kuarters terbabit.

Notis itu memaklumkan, kadar sewa bulanan bagi unit kuarters berkenaan yang sebelum ini ditetapkan pada kadar RM400 hingga RM500 akan dinaikkan kepada RM600 hingga RM800.

Menurut PPj, kenaikan itu perlu memandangkan kos penyelenggaraan dan pembaikan kuarters yang semakin meningkat dari tahun ke tahun dan kadar sewaan hasil nilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) serta kadar sewaan bagi kawasan sekitar juga mengalami peningkatan.

Kenaikan harga sewa itu mendapat perhatian banyak pihak termasuk mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turut tidak bersetuju ia dilaksanakan.

Bagaimanapun, hari ini Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim mengumumkan bahawa kadar sewa kuarters berkenaan dikekalkan kerana kenaikan tidak sesuai dilaksanakan dalam keadaan semasa.

Berita berkaitan

Sewa rumah tak jadi naik...

'U-turn' kali ini saya sambut baik - Najib

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 8:53 PM