Faliq Lajim


PENDUDUK Pangsapuri Azaria di Klang bimbang apabila beberapa unit rumah Selangorku itu disewakan kepada orang lain termasuk warga asing.

Difahamkan sebanyak 10 daripada 240 unit pangsapuri di situ sudah disewakan dan ada di antaranya dijadikan hostel pekerja asing yang bekerja di kilang berdekatan.

Malah, beberapa ejen turut cuba menghubungi pemilik rumah di pangsapuri itu dan menawarkan harga sewaan yang tinggi jika mereka bersetuju menyewakan kediaman berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Penaja (Sementara) Pangsapuri Azaria, Daniel Ang, 40, berkata, masalah itu timbul sejak Oktober lalu selepas pemaju menyerahkan kunci kepada penduduk.

Katanya, dia bersama-sama penduduk lain sudah menyuarakan masalah itu kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan diambil.

“Kita sedia maklum, bahawa rumah Selangorku ini memang tidak boleh disewakan kepada orang. Namun, kita mengesan beberapa pemilik pangsapuri buat perkara itu.

“Malah, beberapa unit turut dijadikan sebagai hostel warga asing. Kita mengesan sekurang-kurangnya 10 warga asing yang duduk di sebuah unit di pangsapuri ini.

“Mereka turut membuat bunyi bising serta bersekedudukan antara lelaki dan wanita sehingga menimbulkan rasa kurang senang terutamanya penduduk beragama Islam,” katanya dalam satu sidang media di Dewan Serbaguna Pangsapuri Azaria, dekat sini.

Turut hadir, Setiausaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Shahrul Adnan dan Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Hashim Mat Piah.

Dalam pada itu, penduduk turut mempersoalkan caj perkhidmatan penyelenggaraan yang dianggap mahal serta tidak setimpal dengan perkhidmatan diberikan.

Setiausaha penduduk pangsapuri itu, Azlina Ramli berkata, penduduk perlu membayar antara RM173 hingga RM163 walaupun tidak mempunyai perkhidmatan kolam renang.

“Malah, pangsapuri ini banyak berlaku kes kecurian motosikal, kasut, baju, meja lipat, dan pelbagai lagi. Jadi apa guna bila kami bayar mahal untuk caj perkhidmatan penyelenggaraan.

“Kami juga pernah meminta agar pihak pengurusan menyediakan kamera litar tertutup (CCTV), namun tidak diendahkan dan mereka mendakwa ia adalah inisiatif penduduk sendiri,” katanya.

Sementara itu, Shahrul berkata, beliau akan menyuarakan masalah itu kepada ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha, LPHS serta beberapa pihak bertanggungjawab lain.

“Bagi isu rumah Selangorku, kita memang sedia maklum tujuan ia diperkenalkan untuk keluarga yang ada di negeri ini memiliki satu unit rumah. Syarat kelayakan sudah jelas yang mana mesti didiami dan bukan disewa. Kita padang serius perkara ini.

“Bagi masalah berbangkit yang lain, kita akan mengadakan satu sesi dialog bersama pemaju, pihak pengurusan bersama pihak bertanggungjawab untuk cari jalan penyelesaian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 4:01 PM
Penduduk Pangsapuri Azaria, bimbang apabila beberapa unit rumah Selangorku itu disewakan kepada orang lain termasuk warga asing. FOTO  Faiz Anuar
Penduduk Pangsapuri Azaria, bimbang apabila beberapa unit rumah Selangorku itu disewakan kepada orang lain termasuk warga asing. FOTO Faiz Anuar