Muhammad Mustakim Ramli


JABATAN Kastam Diraja Malaysia Kedah berjaya memungut hasil kutipan cukai sebanyak RM1.185 bilion melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan pada tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Johari Alifiah berkata, sasaran itu berjaya dilepasi dua hari lalu hasil usaha gigih lebih 700 pegawai dan kakitangan jabatan berkenaan.

“Kita berjaya melepasi jumlah kutipan disasarkan dua hari lalu selepas memperoleh RM1.185 bilion.

“Sasaran ini berjaya dicapai apabila KPI dikaji semula selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu apabila terdapat perubahan khususnya dari Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Malam Apresiasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Sungai Petani, malam tadi.

Terdahulu semasa berucap pada majlis berkenaan, Johari berkata, beliau berpuas hati dengan komitmen yang diberikan pegawai serta kakitangannya di seluruh Kedah pada tahun ini.

Katanya, sebagai contoh semua mereka berjaya melaksanakan tanggungjawab program SST jabatan dalam tempoh yang singkat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 11:13 AM