SUBROMANIAM (tengah) bersama Ng (kiri) dan Tan pada taklimat program Perkembangan Terkini-SST anjuran KPMG Tax Services, semalam. FOTO Amirudin Sahib
SUBROMANIAM (tengah) bersama Ng (kiri) dan Tan pada taklimat program Perkembangan Terkini-SST anjuran KPMG Tax Services, semalam. FOTO Amirudin Sahib
Mohd Zaky Zainuddin


PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan untuk mengutip cukai jualan dan perkhidmatan (SST) melebihi RM22 bilion tahun ini.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, keyakinan itu bersandarkan langkah kerajaan memperluas item di bawah cukai perkhidmatan yang bagaimanapun tidak memberi kesan besar kepada golongan B40.

“Kami percaya dapat melepasi sasaran kutipan SST RM22 bilion yang ditetapkan dengan mudah menerusi langkah pindaan ke atas item yang dikenakan cukai mulai tahun ini,” katanya selepas menyertai program Perkembangan Terkini-SST anjuran KPMG Tax Services di sini, semalam.

Hadir sama Penasihat KPMG Tax Services, Datuk Tan Sim Kiat dan Pengarah Eksekutif Cukai Tidak Langsung KPMG Tax Services, Ng Sue Lynn.

Subromaniam menjelaskan, antara pindaan terbaharu dalam SST adalah pengenaan cukai perkhidmatan kepada empat sektor baharu iaitu perkhidmatan pembrokeran dan penaja jamin, taman tema, pembersihan serta perundingan.

“Ia membabitkan perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan bukannya rakyat terutama golongan B40. Jadi ia tidak menjejaskan rakyat biasa.

“Dengan cukai perkhidmatan yang dikenakan bermula 1 Mac ini, tidak lebih 10,000 syarikat perkhidmatan berkaitan akan dikenakan cukai di mana kutipan ini akan menyumbang kepada pendapatan negara,” katanya.

Beliau berkata, pengecualian SST ke atas pengimportan barangan berharga turut diputuskan kerajaan kerana barangan berkenaan terangkum dalam item pelaburan.

Katanya, pengecualian itu adalah langkah tepat bagi mengelakkan pengguna tempatan dan asing membeli produk bernilai tinggi dari negara lain termasuk Singapura dan Hong Kong.

“Pengecualian cukai ke atas barangan berharga tinggi untuk memastikan barangan buatan tempatan bernilai tinggi seperti produk pengangkutan air mewah termasuk kapal persiaran dan kapal kargo menjadi pilihan rakyat tempatan dan asing.

“Ia bernilai tinggi dan menjana keuntungan kepada ekonomi negara. Kita tidak mahu pelabur tidak kira rakyat kita atau asing memilih untuk membeli barangan bernilai tinggi di negara lain yang menawarkan pengecualian cukai dan kemudian beroperasi di Malaysia

“Kita juga tidak mahu pengusaha tempatan kehilangan pelanggan disebabkan cukai kerajaan kenakan, sebab itu kita putuskan untuk dikecualikan (cukai),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 11:29 AM