PETALING JAYA 09 JANUARI 2020. Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng pada sidang media Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Komplek Kastam WPKL Kelana Jaya. NSTP /ROHANIS SHUKRI.
PETALING JAYA 09 JANUARI 2020. Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng pada sidang media Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Komplek Kastam WPKL Kelana Jaya. NSTP /ROHANIS SHUKRI.
Amir Abd Hamid


JUMLAH hasil kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dipungut kerajaan bagi tempoh 2019 mencecah RM27.5 bilion.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, hasil itu menunjukkan ia melebihi unjuran jangkaan jumlah disasarkan tahun lalu sebanyak RM22 bilion.

“Ini menunjukkan ekonomi kita masih mampan, walaupun angka itu lebih rendah berbanding kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini iaitu RM44 bilion.

“Jurang perbezaan jumlah kutipan SST tahun lalu dengan GST sebenarnya hanya dalam kadar RM9 bilion sahaja kerana yang selebihnya itu adalah dalam bentuk pembayaran balik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir sesi Hari Bertemu Pelanggan anjuran Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur, di Kompleks JKDM Kuala Lumpur, Kelana Jaya di Petaling Jaya, hari ini.

Ketika ditanya adakah kerajaan mampu menampung kerugian susulan penghapusan GST, katanya, rangka belanjawan lalu kerajaan menjangkakan jurang kutipan SST adalah RM10 bilion berbanding GST.

“Namun kita berjaya mengurangkan jurang itu daripada RM10 bilion kepada sekitar RM8 bilion mengikut pelan pengurangan jurang seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Walaupun jumlahnya agak kecil antara RM1.5 bilion hingga RM2 bilion, kita berjaya menampung sebahagian jurang perbezaan berkenaan.

“Kesimpulannya ia mengikut pelan ekonomi yang dirancang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tahun ini kerajaan mensasarkan kutipan SST sebanyak RM27.5 bilion.

“Namun, kerajaan optimis kutipan SST akan berjaya melepasi angka yang disasarkan ini,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, kerajaan berjaya mencapai sasaran defisit fiskal 3.4 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu.

“Kita berjaya mencapai 100 peratus sasaran yang ditetapkan tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 3:44 PM