Adam Danish menunjukkan Sijil Daftar Kelahirannya berwarna merah kerana ketiadaan maklumat lengkap mengenai ibu bapanya. FOTO Adnan Ibrahim
Adam Danish menunjukkan Sijil Daftar Kelahirannya berwarna merah kerana ketiadaan maklumat lengkap mengenai ibu bapanya. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim


KELUARGA angkat kanak-kanak lelaki yang diserahkan oleh ibunya kira-kira sembilan tahun lalu mengharapkan wanita itu tampil bagi melakukan proses penyerahan anak angkat secara sah seterusnya membolehkannya mendapat taraf kewarganegaraan.

Jefferi Mohd Nor, 53, berkata, kanak-kanak yang diberikan nama, Adam Danish Sha Abdullah, 9, diserahkan kepadanya sehari selepas dilahirkan pada 15 Oktober 2009 di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.

Katanya, wanita dikenali sebagai Noraini Isa, yang berusia 26 tahun ketika itu dipercayai tinggal di Batu Pahat namun tiada maklumat berkaitan kampung atau taman perumahan kediamannya dan tidak pernah berhubung sebaik anaknya diserahkan kepada keluarga Jefferi.

“Saya hanya dimaklumkan bahawa wanita itu mempunyai anak yang ramai selain berhadapan masalah keluarga menyebabkan dia menyerahkan zuriatnya sebaik dilahirkan sebelum menghilangkan diri tanpa dapat dikesan.

“Ketika penyerahan berlaku hanya surat pengesahan kelahiran yang dikeluarkan pihak HSNI diserahkan kepada saya tanpa menyertakan maklumat berkaitan ibu dan ayah kepada kanak-kanak ini menyebabkan sukar saya mendaftarkan kelahirannya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya kepada NSTP, di Kluang hari ini.

Menurut Jefferi, akibat ketiadaan maklumat lengkap berkaitan ibu bapa, Adam Danish Sha diletakkan sebagai seorang bukan warga negara dan keadaan itu menimbulkan pelbagai masalah untuk memberikan pendidikan dan kesihatannya, selain terpaksa membayar kos yang tinggi.

“Sehubungan itu, saya mengharapkan ibu kandungnya tampil menemui kami kerana pelbagai usaha sudah dilakukan untuk mencarinya di Batu Pahat tetapi gagal dan melalui maklumat di JPN dia dikesan berada di Kelantan.

Jefferi berkata, tanpa dokumen peribadi yang lengkap, beliau bimbang anak angkatnya tidak mendapat kemudahan pendidikan dan kesihatan seperti kanak-kanak lain yang secara tidak langsung tersisih daripada sebarang manfaat sedangkan dia sebenarnya rakyat negara ini.

Orang ramai yang mengenali ibu kandung Adam Danish Sha diminta menghubungi Jefferi di 012-7101297 bagi mengatur temujanji untuk memproses penyerahan anak angkat secara sah di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kluang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 9:45 PM