DR Mahathir menerima Anugerah Automotif Sepanjang Hayat daripada Darell (dua kanan), hari ini. Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
DR Mahathir menerima Anugerah Automotif Sepanjang Hayat daripada Darell (dua kanan), hari ini. Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Lizam Ridzuan


PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dipilih menerima Anugerah Automotif Sepanjang Hayat sempena majlis Anugerah Kereta Tahunan Malaysia 2018 (COTY) di Shah Alam, hari ini.

Manakala, kenderaan utiliti sukan (SUV) Peugeot 3008 1.6 Active pula dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan dalam acara sama anjuran Institut Automotif Malaysia (MAI).

Sebanyak 16 kategori dipertandingkan menerusi penilaian sembilan panel terdiri golongan profesional serta penggiat industri termasuk pakar permotoran, editor dan wartawan automotif tempatan selama tiga bulan.

Antara kriteria pemilihan ialah rekaan luaran dan dalaman, spesifikasi teknikal dan inovasi kejuruteraan, ciri keselamatan pasif dan aktif, penggunaan tenaga efisien dan mesra alam serta nilai harga yang berbaloi untuk keseluruhan kenderaan.

COTY yang dimulakan sejak 2002 turut memilih Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad sebagai Personaliti Automotif Tahunan dalam menghargai sumbangan beliau dalam memperjuangkan serta membangunkan industri automotif di negara ini.

Pada majlis itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Darell Leiking mengumumkan penjenamaan semula MAI yang kini dikenali sebagai Institut Automotif, Robotik & IoT Malaysia (MARii).

Ia sebagai langkah untuk meluaskan skop agensi itu dalam perkembangan teknologi dan sistem mobiliti industri automotif di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari berkata, kemajuan dunia automotif bakal menyatukan keseluruhan teknologi kejuteraan dan ketersambungan informasi maklumat.

Katanya, penjenamaan semula juga sebagai persediaan ke arah itu dan anugerah yang disediakan adalah platform untuk menilai pencapaian terbabit pada tahun hadapan.

“Selain penjenamaan semula untuk membangunkan teknologi tinggi masa depan, COTY juga dapat memberi lebih banyak maklumat kepada pengguna tentang ciri dan kenderaan terbaik yang terdapat dalam pasaran Malaysia,” katanya.

Senarai Kategori Pemenang COTY 2018:

1. Kereta Kelas Permulaan Tahunan - Perodua Myvi 1.5

2. Hot Hatch Tahunan - Volkswagen Golf 2.0 GTi (Facelift)

3. Trak Pikap Tahunan - Ford Ranger 2.2 WildTrak

4. Crossover Kompak Tahunan - Peugeot 3008 1.6 Active

5. Crossover Saiz Pertengahan Tahunan - Mazda CX-5 2.2 GLS SkyActiv-D 2WD

6. Crossover Premium Tahunan - Mercedes-Benz GLC 200

7. MPV Tahunan (di bawah RM200,000) - Kia Grand Carnival 2.2D SX

8. MPV Tahunan (Atas RM200,000) - Toyota Alphard 3.5

9. SUV Kelas Permulaan Tahunan - Subaru XV 2.0i-P AWD

10. SUV Saiz Pertengahan Tahunan - Mitsubishi Outlander 2.4 4WD

11. SUV Saiz Pertengahan Premium Tahunan - Volvo XC60 T8 Inscription

12. SUV Premium Tahunan - Mercedes-Benz AMG GLC43

13. Sedan Eksekutif Tahunan- Mercedes-Benz C 200 AMG

14. Sedan Eksekutif Premium Tahunan - Mercedes- Benz AMG C43

15. Limosin Tahunan - Mercedes-Benz S 450 L AMG Line

16. Kereta Tahunan 2018 - Peugeot 3008.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 11:28 PM