RUANG dalaman mewah.
RUANG dalaman mewah.
Lizam Ridzuan


Selaku Kereta Terbaik Eropah 2017, kecemerlangan Peugeot 3008 seakan berterusan apabila menerima pengiktirafan Kereta Terbaik 2018 ketika Anugerah Kereta Tahunan Malaysia 2018 (COTY).

Anjuran Institut Automotif Malaysia (MAI), kenderaan utiliti sukan (SUV) crossover kompak itu dinilai berdasarkan gaya, rekaan dalaman dan prestasi daripada sembilan juri profesional dalam industri automotif negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Kumpulan Automotif) Naza Corporation Holdings, Datuk Samson Anand George berkata, model itu sudah memenangi lebih 60 anugerah antarabangsa sebelum ini dan sudah terjual sebanyak 430,000 unit di seluruh dunia.

“Rekaan moden, selesa dan ciri keselamatan termaju dengan teknologi Peugeot i-Cockpit menjadikan Peugeot 3008 kenderaan terbaik di negara ini,” katanya ketika Anugerah COTY, baru-baru ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking serta turut dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

PEUGEOT 3008.
PEUGEOT 3008.

Peugeot 3008 serba baharu mula dipasarkan pada 2017 dengan enjin 1,598cc Twin Scroll Turbo High Pressure (THP) yang menjana kuasa 167 PS dan tork 240 Nm.

Penggunaan bahan api pula dicatatkan sekitar tujuh liter bagi 100 kilometer (km) dan kelajuan maksimum direkodkan sekitar 211 kilometer sejam (km/j).

Rekaan dianggap terbaik apabila perumah lampu belakang LED menampilkan gaya ‘signature’ cakaran terapung dan lampu hadapan Bi-Xenon beserta Sistem Pencahayaan Terkini Bi-Xenon Dinamik.

Rekaan luaran sporty dan moden tampil menyerlah dengan padanan rim aloi Los Angeles Shiny Haria Grey bersaiz 18 inci.

Ruang dalaman bergaya dan mewah dengan papan pemuka termaju gabungan fabrik dan bahan berkualiti tinggi, skrin Head-Up Display (HUD) bersaiz 12.3 inci dan skrin sesentuh bersaiz lapan inci dengan fungsi Mirror untuk hiburan.

Ciri keselamatan dipertingkatkan dengan enam beg udara, Program Keselamatan Elektronik (EBD), Bantuan Brek Kecemasan (EBA), Pengawalan Anti-Gelinciran (ASR), Kawalan Stabiliti Dinamik (DSC) dan Kawalan Cerun Bantu Bukit (HADC) meningkatkan kawalan pemanduan ketika laluan sukar.

Harga jualan Peugeot 3008 bermula RM135,000 dengan jaminan lima tahun atau 120,000 kilometer, yang mana terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 5:00 AM