FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Baharom Bakar


KERAJAAN Terengganu bersetuju memberi keutamaan permohonan kediaman dan tanah kepada bekas tentera.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pejabat tanah dan bahagian perumahan negeri sudah diminta mengutamakan setiap permohonan kediaman serta tanah yang dipohon oleh bekas tentera.

“Bekas tentera yang belum memiliki kediaman dan tanah sendiri diminta mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan negeri termasuk mengemukakan permohonan melalui atas talian.

“Keistimewaan dan persetujuan mengutamakan permohonan bagi mendapatkan kediaman dan tanah sendiri diberikan sebagai penghargaan kerajaan negeri ke atas jasa serta pengorbanan mereka dalam menjaga keamanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada NSTP ketika ditemui selepas pelancaran Tabung Pahlawan peringkat negeri anjuran Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), di kawasan tempat letak kereta Pasar Borong, Kampung Gong Pauh, di Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua PVATM, Datuk Dr Anwa Sulaiman.

Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM6.33 juta untuk membantu badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negeri tahun depan.

Katanya, PVATM perlu memanfaatkan peruntukan diluluskan kerajaan negeri melalui pembentangan bajet diumumkan Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk kebajikan bekas dan ahli keluarga anggota tentera.

“Kerajaan negeri mengamalkan sikap keterbukaan dalam pengagihan bajet yang dikhaskan untuk membantu NGO di negeri ini dan PVATM negeri boleh mengemukakan kertas cadangan program serta permohonan.

“Bagi membantu tabung tabung pahlawan di negeri ini, saya akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah Rabu depan bagi mendapatkan kelulusan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi membolehkan kutipan dilakukan di semua masjid pada Jumaat akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 11:33 AM