Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki (dua kiri) mengetuai misi kemanusiaan yang bertolak ke Lubnan hari ini bagi mengagihkan barang keperluan musim sejuk untuk pelarian Syria di Lubnan, Turki dan Syria. FOTO Ihsan Syria Care
Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki (dua kiri) mengetuai misi kemanusiaan yang bertolak ke Lubnan hari ini bagi mengagihkan barang keperluan musim sejuk untuk pelarian Syria di Lubnan, Turki dan Syria. FOTO Ihsan Syria Care
Mohd Azam Shah Yaacob


PERTUBUHAN kemanusiaan, Syria Care akan menggerakkan misi kemanusiaan ‘Bantuan Musim Sejuk Syria Care 7.0’ (BMS 7.0) bagi mengagihkan bantuan kepada pelarian Syria di negara berkenaan serta di Lubnan dan Turki.

Misi kemanusiaan itu diketuai Pengerusinya, Siti Sakinah Meor Omar Baki bersama enam petugas termasuk wakil media dari NSTP.

Kumpulan ini berlepas ke destinasi pertama di Tripoli, Lubnan hari ini, bagi meninjau serta memantau proses pengagihan bantuan berupa pek makanan dan sumbangan kewangan kepada pelarian Syria di sana.

Siti Sakinah ketika ditemui berkata, selepas misi di Lubnan, Syria Care akan bergerak ke Turki bagi mengagihkan barang keperluan untuk pelarian yang dibeli hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk rakyat di negara ini.

Katanya, barang keperluan itu membabitkan pakaian sejuk, sarung tangan, stokin serta selimut yang dibeli dengan kos sebanyak RM682,312.

“Kesemua barang itu sudah tiba di Pelabuhan Mersin, Turki pada 23 November lalu khusus untuk diagihkan kepada rakyat Syria yang menjadi pelarian dalam negara mereka sendiri.

“Ia kerana negara berkenaan sedang berada dalam musim sejuk dan menjadi barang keperluan susulan hampir kesemua pelarian di sana tiada pakaian yang mampu melindungi mereka daripada kesejukan,” katanya.

Siti Sakinah berkata, bagi memastikan misi berjalan lancar, Syria Care menjalinkan kerjasama dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Turki, iaitu Turkiye Diyanet Vakfi (TDV).

Katanya, TDV akan bersama-sama Syria Care dalam membantu mengagihkan barangan berkenaan antaranya di kem pelarian di Azzaz, Turkmen Bareh dan Jarablus di utara Aleppo.

“Dalam misi BMS 7.0 ini, Syria Care sebenarnya mensasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM3 juta bagi memenuhi keperluan pelarian.

“Bagaimanapun, jumlah itu tidak mencukupi dan sumbangan lebih besar diperlukan terutama jika mengambil kira keadaan semasa di Idlib yang kini terdapat lebih 3.5 juta pelarian.

“Ini kerana Idlib kini menjadi antara kawasan perlindungan utama selepas wilayah itu diisytihar sebagai zon bebas perang (DMZ) dan menjadi satu-satunya kawasan yang sebahagian besar dikuasai kumpulan anti kerajaan,” katanya.

Menurutnya lagi, pengagihan BMS 7.0 kali ini juga akan diperluas di luar wilayah itu termasuk di utara Aleppo dan Latakia.

Justeru, bagi memastikan pelarian di sana tidak kebuluran dan mati kesejukan, Syria Care merayu orang ramai tampil menghulurkan sumbangan.

Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun RHB 2622 5000 0217 75 atas nama Syria care selain di akaun CIMB 8601 8945 60 atau akaun Maybank 5621 0665 3575.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 9:29 AM