MUSIM sejuk turut menjadi penyumbang kematian dalam kalangan pelarian.
MUSIM sejuk turut menjadi penyumbang kematian dalam kalangan pelarian.
Mohd Azam Shah Yaacob dan Nor Farizan Abdull Rahman (jurugambar)

QABASIN, SYRIA: Terselamat daripada perang namun maut akibat kesejukan.

Itu antara nasib menimpa pelarian Syria berikutan tidak mempunyai pakaian sesuai bagi menempuh musim sejuk yang melanda negara ini.

Kami difahamkan, sejak berlaku perang saudara di negara ini, musim sejuk turut menjadi penyumbang kematian dalam kalangan pelarian terutama yang tinggal di dalam khemah di kem pelarian.

Ia juga antara punca ramai daripada mereka maut ketika nekad menyeberang keluar sempadan negara ini melalui kawasan pergunungan.

Atas faktor itu, barangan seperti selimut, kasut but, jaket serta sarung tangan antara keperluan kritikal diperlukan mereka ketika ini bagi mengharungi suhu sejuk sehingga mencecah paras

di bawah dua darjah Celsius.

Prihatin dengan masalah itu, pertubuhan kemanusiaan dari Malaysia, Syria Care melancarkan misi bantuan musim sejuk Syria Care 7.0

di negara ini.

Wartawan yang mengikuti misi ini bersama jurugambar dan lima petugas Syria Care diketuai Pengerusinya, Siti Sakinah Meor Omar Baki, melihat sendiri ada antara pelarian terpaksa memakai sehingga enam lapisan baju kerana tidak tahan cuaca sejuk.

Malah, ada yang turut meminta bantuan membeli kayu api bagi memanaskan badan mereka.

Siti Sakinah berkata, menerusi misi di kawasan berkenaan, sebanyak 5,284 barang keperluan seperti jaket, topi, selimut, sarung tangan, kasut but, stokin dan beg diagihkan.

“Selain barang keperluan berkenaan, Syria Care turut memberi sumbangan kewangan bagi pembelian diesel serta kayu api untuk mereka memanaskan badan.

“Ia kerana barangan ini sangat diperlukan mereka terutama kanak-kanak, individu yang sudah tua serta wanita termasuk yang sakit,” katanya.

Sementara itu, pelarian Syria, Abdull Rahman berkata, ibunya berusia 74 tahun meninggal dunia ketika musim sejuk tahun lalu kerana tidak tahan dengan cuaca yang amat sejuk.

Katanya, ketika itu dia bersama isteri sedang mengambil bantuan makanan di luar dan wanita berkenaan duduk bersama anaknya yang masih kecil.

“Sebelum keluar, ibu ada menyatakan sangat sejuk dan tidak tahan biarpun sudah berselimut.

“Apabila saya pulang 30 minit kemudian, dia sudah meninggal dunia dan pegawai perubatan sahkan ibu meninggal kerana tidak tahan cuaca sejuk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 7:55 AM