Faizul Azlan Razak

Marang: Banjir teruk yang melanda di beberapa daerah di negeri ini sejak Ahad lalu hampir pulih apabila kebanyakan kawasan yang ditenggelami air kembali surut.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd Khairiri Mat Resad@Arshad berkata, pihaknya mendapati banyak kawasan hampir pulih hasil tinjauan udara yang dilakukan selama dua jam.

Menurutnya, pihaknya melakukan penerbangan dengan meninjau kawasan teruk membabitkan kawasan di Hulu Terengganu, Bukit Besi, Dungun, Kemaman, Kuala Terengganu, Setiu dan Besut.

"Secara keseluruhannya kita mendapati hampir keseluruhan kawasan yang dilanda banjir mula pulih seperti sedia kala.

"Cuma, hasil tinjauan ini mendapati Kampung Atas Tol dan kawasan Manir di daerah ini masih digenangi air," katanya selepas melakukan tinjauan udara bersama media, hari ini.

Turut serta, Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Abdul Khair Osman.

PEMANTAUAN melalui udara menerusi helikopter Mi17 milik JBPM mendapati keadaan banjir di kawasan Manir telah surut. FOTO Bernama
PEMANTAUAN melalui udara menerusi helikopter Mi17 milik JBPM mendapati keadaan banjir di kawasan Manir telah surut. FOTO Bernama

Mohd Khairiri berkata, pihaknya mendapati bilangan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini masih ramai disebabkan kediaman mereka masih belum dibersihkan.

Menurutnya, pihaknya juga sudah menggerakkan sembilan pasukan bomba ke kawasan yang terjejas teruk bagi melakukan kerja-kerja pembersihan.

"Kerja-kerja pembersihan ini membabitkan rumah, sekolah dan bangunan agensi kerajaan yang terjejas teruk.

"Kita akan teruskan kerja-kerja pembersihan ini bersama jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat daerah melalui penyelarasan yang dibuat," katanya.

Mohd Khairiri berkata, cuti semua anggota bomba termasuk di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur masih dibekukan sebagai persediaan dalam menghadapi gelombang seterusnya yang berkemungkinan berlaku.

"Kita juga tidak dapat jangkakan sebarang kemungkinan kerana cuaca tidak menentu dan kita akan terus memberi tumpuan terutama membabitkan lebih 300 kawasan 'hot spot' di seluruh Terengganu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 3:08 PM