Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir (PPS) di negeri ini terus merekodkan penurunan daripada 15,243 orang kepada 9,586 daripada 2,695 keluarga setakat 2 petang ini.

Malah, jumlah PPS dibuka juga berkurangan daripada 112 PPS, pagi ini kepada 81 PPS.

PPS di daerah Kemaman yang menempatkan seramai 1,970 daripada 502 keluarga ditutup secara rasmi, kira-kira 1.20 tengah hari tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) negeri memaklumkan, jumlah mangsa banjir di daerah Besut adalah seramai 987 daripada 245 keluarga masih berada di 22 PPS.

Jumlah mangsa yang direkodkan di lapan PPS di Kuala Terengganu adalah seramai 1,563 mangsa daripada 428 keluarga, manakala seramai 2,569 mangsa daripada 898 keluarga di PPS di daerah Hulu Terengganu.

Di daerah Besut, jumlah mangsa banjir yang masih menghuni di 22 PPS adalah seramai 987 orang daripada 245 keluarga, manakala di daerah Setiu jumlah mangsa banjir adalah seramai 133 orang daripada 25 keluarga di tiga PPS.

Jumlah mangsa banjir di daerah Marang masih kekal 76 orang terdiri daripada pelajar sebuah madrasah.

Pada masa sama, JPBN negeri memaklumkan keadaan cuaca di seluruh negeri mendung dan hujan di beberapa daerah.

PEMANTAUAN melalui udara menerusi helikopter Mi17 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). FOTO Bernama
PEMANTAUAN melalui udara menerusi helikopter Mi17 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 3:58 PM