MOHAMAD Yusof Abdullah, 57, di hadapan pondoknya di Kampung Bukit Tok Kaya, Jalan Lama,  Batu 42, Pulai. FOTO Safuri Kamarudin
MOHAMAD Yusof Abdullah, 57, di hadapan pondoknya di Kampung Bukit Tok Kaya, Jalan Lama, Batu 42, Pulai. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


AKIBAT kesempitan hidup, lelaki yang hidup sebatang kara terpaksa tinggal di dalam pondok buruk sejak 10 tahun lalu.

Mohamad Yusof Abdullah, 57, dari Kampung Bukit Tok Kaya, Jalan Lama Batu 42, Pulai, di Baling yang belum berkahwin, hanya mengharap belas ihsan jiran untuk mendapatkan bekalan air dan elektrik dari rumah mereka selepas menumpang di atas tanah rizab kerajaan untuk membina pondok itu.

Menurutnya, sebelum ini pelbagai pihak ada datang mengambil gambar dan berjanji ingin membantu, namun selepas itu tiada khabar berita.

“Saya mengutip kayu dari hutan dan atap zink terbuang untuk membina pondok ini sebagai tempat berteduh.

“Apabila hujan lebat saya terpaksa berpindah tempat tidur dan menutup lubang yang bocor dengan plastik kerana tiris di segenap penjuru dan pernah tidak dapat melelapkan mata sehingga pagi terkenangkan nasib diri,” katanya.

Mohamad Yusof berkata, dia hanya mengambil upah menoreh getah milik orang dan pendapatannya hanya cukup membeli barang keperluan dapur.

“Saya perlu berjimat cermat menggunakan wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM200 sebulan, terutamanya jika terputus perbelanjaan harian,” katanya.

“Pada usia saya ketika ini, saya amatlah berharap ada pihak tampil membantu menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa.

“Saya pun tidak mampu bekerja kuat kerana sering penat dan mengalami tekanan darah rendah. Biarlah sisa-sisa usia ini saya sempat merasai kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 3:16 PM