SITI Meriam  dan  Mohd Yusof  melihat keadaan rumah yang sudah dirobohkan untuk kerja pembersihan.
SITI Meriam dan Mohd Yusof melihat keadaan rumah yang sudah dirobohkan untuk kerja pembersihan.
HM Digital

Kuantan: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah keadaan ditanggung dua keluarga di Kampung Tengah di sini, apabila tidak mampu membina semula kediaman mereka yang musnah dalam kebakaran pada 9 Ogos lalu.

Menurut warga emas, Siti Meriam Sheikh Ahmad, 61, selepas terbabit dengan musibah berkenaan, dia cuba dapatkan bantuan membina semula rumah daripada beberapa pihak tetapi sehingga kini masih belum menerima maklum balas.

Katanya, modal yang besar diperlukan bukan saja untuk membina tetapi bagi kerja pembersihan kayu serta sisa kebakaran.

“Saya bekerja sebagai tukang jahit dan suami (Mohd Yusof Mohd Sab, 59) pula hanya sebagai tukang urut. Kebakaran itu memusnahkan segala alat kelengkapan menjahit. Buat sementara waktu ini kami masih tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap.

“Ada juga kami menerima bantuan awal daripada beberapa pihak dan badan kebajikan dan ia digunakan untuk perbelanjaan harian selain perlu menyewa rumah lain untuk berteduh.

“Saya berharap pemimpin setempat dan pihak berwajib tampil membantu dan meringankan beban kami,” katanya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 6:02 AM