Siti Nor Hidayatidayu Razali


SELEPAS 40 Ahli Parlimen UMNO dikatakan akan melompat menyertai Parti Pribumi Besatu Malaysia (BERSATU), kini Ahli Parlimen dari Kelantan pula dijangka akan berbuat demikian selepas bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, beberapa nama itu sudah ada namun tidak akan diumumkan buat masa ini.

“Kita tunggu dan lihat. Jika pemimpin terbabit masuk BERSATU, kita akan adakan majlis.

“Mereka ini (pemimpin) akan memperkuat dan mengukuhkan lagi parti terutama di Kelantan apabila sudah ada wakil kerajaan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sabtu lalu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk A Kadir Jasin berkata, 40 Ahli Parlimen UMN0 akan melompat.

Kamaruddin berkata, Ahli Parlimen yang menyertai BERSATU itu bukan terpengaruh dengan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebaliknya mereka bertindak sendirian.

“Pemimpin yang bakal menyertai parti ini tiada sangkut paut dengan Tok Pa dan mereka bersendirian.

“Penyertaan pemimpin ini akan dapat menarik lebih ramai pengikut seterusnya menjadikan parti lebih kuat,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini agenda BERSATU Kelantan mahu memperkukuhkan parti dan tiada agenda untuk pembahagian jawatan kepada pemimpin berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 4:24 PM