Dr Mahathir. FOTO Syarafiq Abd Samad
Dr Mahathir. FOTO Syarafiq Abd Samad
Ahmad Suhael Adnan


TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, mana-mana individu berhak untuk melompat parti sekiranya mereka mahu berbuat demikian.

Perdana Menteri berkata, Malaysia adalah negara yang mengamalkan demokrasi dan sistem itu membenarkan ‘amalan lompat parti’ dilakukan.

“Kita adalah sebuah kerajaan yang demokratik. Kita percaya pada demokrasi dan demokrasi membenarkan ‘katak’ melompat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bilakah kerajaan akan menggubal akta yang mengharamkan individu melompat parti kerana amalan itu melahirkan ramai ‘katak’ yang antaranya melompat masuk ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden DAP, Gobind Singh Deo.

Beberapa ahli politik UMNO baru-baru ini memilih untuk menyertai BERSATU, antaranya Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Presiden Majlis Senator Malaysia, Datuk Seri Khairudin ES Abd Samad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 5:03 PM