Fairul Asmaini Mohd Pilus

AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menganggap cadangan untuk membawa masuk mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak bagi mengambil alih tugas sebagai Ketua Pembangkang sementara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti sebagai idea bodoh.

Menerusi catatan terbaru di laman Twitterya, mantan Ketua Pemuda UMNO itu sambil menyindir meminta orang ramai supaya jangan menyebarkan berita palsu yang belum tentu kesahihannya.

“Jangan sebarkan fake news. Tak ada orang yang akan memberi cadangan ‘bingai’ macam ni.

“Saya yakin @LokmanAdam pun tak ‘bongap’ macam ni. Eh,” katanya yang turut mengulang Tweet sebuah portal berita, hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam mengemukakan cadangan supaya Najib dilantik sebagai Ketua Umum UMNO dan Ketua Pembangkang, sementara Presiden UMNO bercuti.

Menurut Lokman, dalam situasi kritikal begini, UMNO memerlukan khidmat seorang pemimpin berpengalaman dan dihormati oleh Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang masih belum melompat mahupun yang sudah melompat.

“Perlantikan ini sangat penting bagi memastikan kestabilan UMNO memandangkan lebih dari separuh ahli UMNO yang mengundi Ahmad Zahid sudah pasti tidak boleh menerima kepimpinan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang sekalipun tidak pernah mempertahankan Presiden ketika beliau diserang oleh pihak yang mahu beliau bercuti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Disember 2018 @ 3:00 PM