Raja Noraina Raja Rahim


SEDERET tiga rumah kedai menjual perabot di Taman Seremban Jaya, Seremban, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 11.03 pagi.

Menurutnya, 21 pegawai dan anggota membabitkan lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Seremban dan Seremban 2 dengan bantuan Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran dipercayai bermula di lot tepi sebelum merebak ke dua unit bersebelahan. Kita mengambil masa hampir sejam untuk memadamkan kebakaran di ketiga-tiga lot kedai berkenaan.

"Hanya sebuah lot kedai musnah 100 peratus manakala dua lot masing-masing musnah 50 peratus dan 10 peratus. Kebakaran membabitkan barangan perabot dan tiada mangsa dilaporkan cedera," katanya ketika ditemui, hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 10:05 PM