ANGGOTA penyelamat di lokasi kejadian remaja lemas. FOTO Rosdan Wahid
ANGGOTA penyelamat di lokasi kejadian remaja lemas. FOTO Rosdan Wahid
Mohd Azam Shah Yaacob

“SEPANJANG lebih 10 tahun, ini kejadian paling menyedihkan apabila hanya mampu melihat rakan setugas terkapai-kapai sebelum lemas,” kata salah seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Beliau yang enggan dikenali antara anggota bomba terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja berusia 17 tahun di kawasan tebatan lombong di Puchong, semalam.

Kejadian itu menyebabkan enam anggota bomba meninggal dunia, malam tadi. Mayat remaja berkenaan pula ditemui, petang tadi.

Menceritakan kejadian, beliau mengakui agak terkilan dan berasa bersalah kerana tidak mampu menyelamatkan enam rakan setugasnya itu.

“Sepanjang berkhidmat sebagai anggota bomba, ini adalah kejadian paling menyedihkan bagi saya dan mungkin juga kepada anggota bomba lain.

"Sebabnya... operasi mencari dan menyelamat ini akhirnya bertukar tragedi apabila anggota kami sendiri hilang nyawa. Malah, saya sendiri rasa bersalah apabila tidak berjaya menyelamatkan mereka," katanya.

Bercerita lanjut, beliau berkata, kejadian amat pantas menyebabkan enam rakannya tidak sempat menyelamatkan diri.

Katanya, arus deras menyebabkan mereka bergelut untuk menyelamatkan diri.

“Saya lihat mereka bergelut untuk menyelamatkan diri termasuk cuba melonjakkan badan, tetapi arus terlalu kuat. Setiap kali berbuat demikian, mereka akan ditarik semula ke dalam pusaran air.

"Melihat keadaan cemas itu, saya serta beberapa rakan lain yang berada di tebing cuba memberi bantuan dengan menarik tali mengikat kesemua mangsa, namun tidak berhasil," katanya.

Beliau berkata, rakan dilihat terkapai-kapai sebelum seorang demi seorang hilang keupayaan untuk bergerak dipercayai akibat terlalu penat.

Katanya, mereka kemudian hilang ‘ditelan’ pusaran air.

“Ketika itu, saya berharap supaya mereka dapat bertahan, namun arus deras yang mencetuskan pusaran menyebabkan mereka hilang tenaga.

“Mereka tenggelam timbul dan ada ada antara jaket keselamatan yang dipakai terlucut dari badan,” katanya.

Katanya, mereka berusaha menarik rakan ke tebing sebelum berhasil berbuat demikian 30 minit kemudian.

Menurutnya lagi, sebaik semua mangsa berjaya ditarik ke tebing, mereka cuba memberikan bantuan kecemasan, namun ia tidak berhasil.

Rakannya kemudian disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik.

Lagi berita berkaitan Tragedi 6 Bomba Lemas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 7:29 PM