MAYAT mangsa lemas di Taman Tasik Cyberjaya ditemukan di dasar tasik. FOTO ihsan Bomba
MAYAT mangsa lemas di Taman Tasik Cyberjaya ditemukan di dasar tasik. FOTO ihsan Bomba
Rafidah Mat Ruzki


Cyberjaya: Mangsa lemas di Taman Tasik Cyberjaya tengah hari semalam, berjaya ditemukan pasukan penyelamat dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 10.35 pagi hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata, mayat lelaki dianggarkan berusia 30an itu ditemukan lengkap berpakaian singlet hitam dengan tulisan 'Chicago 23' berwarna merah serta seluar hitam.

Beliau berkata, mayat mangsa yang bertubuh kurus itu dalam keadaan elok namun identitinya belum diketahui.

Katanya, mangsa ditemukan berdekatan dengan lokasi yang ditunjukkan anjing pengesan JBPM pagi tadi.

"Mangsa ditemui di dasar tasik pada kedalaman dianggarkan antara 6.5 meter, kira-kira 20 meter dari tebing.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis selepas dibawa naik ke darat," katanya ketika dihubungi.

Media semalam melaporkan lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir dalam tasik di Taman Tasik Cyberjaya, tengah hari semalam.

Kejadian disedari pekerja pembersihan yang sedang berehat di kawasan berhampiran yang kemudiannya memaklumkan kepada rakan sekerjanya.

Saksi kejadian dilaporkan berkata, mangsa terkapai-kapai kira-kira 10 minit dan hilang dari pandangan sebelum sempat pekerja pembersihan di situ membawa keluar sampan untuk membantunya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 12:12 PM