ANGGOTA bomba melakukan pencarian bagi mengesan tiga mangsa yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Teluk Kalong, Kijal, Chukai, semalam. FOTO Rosli Ilham
ANGGOTA bomba melakukan pencarian bagi mengesan tiga mangsa yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Teluk Kalong, Kijal, Chukai, semalam. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


“SAYA sangat sedih dan terkilan kerana gagal menyelamatkan Khairil Ikmal biarpun ketika itu berjaya menarik tangannya,” kata Ahmad Haikal Zaaba, 19, selepas tiga rakannya dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Teluk Kalong, Kijal, Chukai, semalam.

Tiga rakannya, Khairil Ikmal Danial Zamzuradi, 19, pelajar Diploma Pengajian Perniagaan, Politeknik Kok Lanas, Kelantan; Ahmad Daniel Firdaus Zubir, 19, pelajar Diploma Kulinari Management & Science University (MSU) Kuala Lumpur dan Shahir Aqil Shahrun,19, pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Sultan Ibrahim, Johor, dikhuatiri lemas ketika mandi jam 6.30 petang.

Sehingga jam 11 malam semalam, usaha mencari dan menyelamat mangsa oleh 50 anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masih belum berhasil.

“Saya turut hampir lemas ketika cuba menyelamatkan Khairil Ikmal dan keadaan arus kuat menyebabkan dia terlepas pegangan tangan saya.

“Saya tak berani menyambar tangannya buat kali kedua kerana bimbang turut lemas,” kata Ahmad Haikal ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, dia bersama semua mangsa serta tiga lagi rakan sekampung mandi di pantai itu kira-kira jam 5 petang.

“Kami semua rakan sekolah menengah dulu dan berpakat berkelah di situ sempena cuti Aidiladha sebelum turun mandi dan air laut ketika itu paras pinggang kami.

“Ketika mandi, Ahmad Daniel tiba-tiba ditarik arus dan terkapai-kapai sebelum Shahir Aqil cuba menyelamatkannya. Namun, kedua-dua mereka kemudian lemas,” katanya.

Ahmad Haikal berkata, melihat dua rakannya itu lemas, Khairil Ikmal pula cuba membantu, namun turut lemas.

“Ketika itu air laut mulai pasang serta arus sangat kuat. Saya cuba membantu menyelamatkan Khairil Ikmal, namun gagal walaupun sudah berjaya menarik tangannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Chukai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Mohamad berkata, pasukan penyelamat memperluaskan operasi pencarian di laut sekitar satu kilometer.

“Keadaan arus dan ombak kuat menyebabkan pasukan mencari dan menyelamat terpaksa menghentikan operasi jam 11 malam tadi.

“Bagaimanapun, operasi mencari diteruskan dengan kaedah tinjauan di sekitar kawasan tepi pantai,” katanya.

Berita berkaitan

Tiga sahabat hilang di laut

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 12:22 AM