Rohana gemar memelihara membeli kucing bersaiz besar. FOTO Mohd Rafi Mamat
Rohana gemar memelihara membeli kucing bersaiz besar. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


MEMILIKI sembilan kucing bersaiz besar yang berbulu lebat dengan berat antara tiga hingga sepuluh kilogram (kg) seekor menjadi kepuasan Rohana Md Gani.

Kakitangan sebuah agensi kerajaan berusia 56 tahun itu berkata kepuasan dikelilingi kucing bersaiz besar dapat dirasakan apabila haiwan terbabit sentiasa manja dan mesra walaupun kelihatan garang.

“Saya tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang dua tahun tinggal sebumbung dengan haiwan terbabit, kesunyian terubat apabila melihat pelbagai aksi dipamerkan kucing,” katanya ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Ibu kepada empat anak itu berkata, minat mendalam ke atas kucing membolehkan dia selesa tinggal bersama haiwan bersaiz besar itu walaupun terpaksa menyediakan peruntukan lebih RM800 sebulan untuk membeli makanan dan pasir.

Katanya, penjagaan dan makanan menjadi faktor utama kucing kacukan baka import dan tempatan miliknya menjadi besar dan berbulu lebat dua hingga empat kali ganda berbanding kucing biasa.

“Saya memberi makan antara sekali hingga dua kali sehari menggunakan makanan import, walaupun harganya agak mahal dan membebankan namun kualitinya begitu baik.

“Semua kucing saya mempunyai nama seperti Oyen, Putih, Omel, Adik dan Tiger. Sebahagian dikurung dalam sangkar dan ada juga tinggal dalam bilik khas, waktu malam semua haiwan berkenaan dilepaskan dalam rumah,” katanya yang menetap di Taman Pinggiran Netas Jaya, Mentakab, di Temerloh.

Rohana berkata, bermula dengan seekor kucing pemberian rakan anaknya, dua tahun lalu

haiwan berkenaan membiak hingga kini menjadi sembilan ekor dan semua kucingnya dikasi bagi menghalang pembiakan.

Beliau juga berkata, anak bongsunya Siti Aisyah Nazihah Sulaiman, 23, yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (UM) turut meminati kucing, bila ada masa terluang dia akan pulang untuk melihat haiwan terbabit.

“Saya melayan semua kucing seperti anak sendiri, makan dan minum sentiasa diberi perhatian. Apabila tidak sihat rawatan dan ubat perlu diberikan segera bagi mengelak menjadi bertambah buruk.

“Saya rela berlapar asalkan sembilan kucing besar peliharaan saya mendapat makanan yang secukupnya, sifat kasih sayang dan tanggungjawab terhadap haiwan sentiasa tersemat dalam diri ini.

“Penjagaan kebersihan dengan memandikan haiwan terbabit perlu dilakukan apabila keadaan memerlukan, dengan cara itu kesihatan kucing akan lebih terjamin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 2:39 PM