EDAN Syah menunjukkan pengiktirafan Guiness World Records yang diperoleh pada larian marathon di Sydney, Australia, hari ini. FOTO Ihsan Edan Syah
EDAN Syah menunjukkan pengiktirafan Guiness World Records yang diperoleh pada larian marathon di Sydney, Australia, hari ini. FOTO Ihsan Edan Syah
Ahmad Suhael Adnan


“INI adalah hadiah yang saya dedikasi khas buat seluruh rakyat sempena Hari Malaysia.”

Begitu ucapan pelari jarak jauh amatur negara Mohd Syahidan Alias selepas menempa nama dalam Guinness World Records sebagai individu terpantas di dunia menghabiskan larian maraton sambil mengenakan pakaian khas Jalur Gemilang.

Kejayaan itu cukup bermakna apabila berjaya dicapai hari ini serentak dengan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September sekali gus menjadi hadiah istimewa buat negara.

Mohd Syahidan atau lebih dikenali sebagai Edan Syah menempa kejayaan itu selepas menamatkan larian pada acara Blackmores Sydney Running Festival di Sydney, Australia, hari ini.

Anak jati Kuala Terengganu itu yang menjadi 'bendera manusia' dalam maraton sejauh 42.2 kilometer itu, berjaya menamatkan larian dalam tempoh dua jam 54 minit.

“Rekod yang ditetapkan Guinness World Records untuk dipecahkan adalah tiga jam 45 minit dan sasaran awal saya adalah tiga jam 29 minit, namun tidak sangka berjaya menamatkan larian jauh lebih awal.

“Ia bukan kejayaan saya seorang diri, tetapi buat semua yang menyokong dan memberikan sumbangan secara langsung atau tidak langsung untuk saya berada di Sydney dan memecahkan rekod dunia ini.

“Inilah hadiah yang mampu saya berikan sebagai pelari maraton amatur kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, cabaran untuk menamatkan larian itu bukan mudah dan mengakui agak bimbang kerana tiada masa untuk membiasakan diri dengan pakaian bendera yang hanya diluluskan Guinness World Records pada Isnin lalu, selepas lakaran asal ditolak sebanyak empat kali.

Malah, katanya, cuaca yang dingin berbanding kebiasaan juga menyebabkannya menggigil kesejukan di garis permulaan, selain momentum larian sedikit terganggu kerana rintangan angin yang kuat.

“Saya juga perlu mematuhi peraturan Guinness World Records untuk memecahkan rekod ini, iaitu meletakkan tangan di dalam pakaian bendera sepanjang maraton yang menyukarkan larian.

“Bagaimanapun, sorakan 'Malaysia Boleh' oleh beberapa penonton di sepanjang larian apabila melihat bendera Malaysia yang dipakai, membakar patriotisme saya untuk terus melangkah dan menamatkan larian sepantas mungkin,” katanya yang mengenakan pakaian Jalur Gemilang dihasilkan pereka fesyen tempatan, Kamilla Rozary.

Katanya, perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia serta sokongan padu diberikan Pengurusnya, Jolene Hong menjadi motivasi untuk mencipta sejarah berkenaan, selain bantuan rakan dari Smart Athletics Club yang memberi sumbangan kewangan untuk misinya di Sydney.

“Tiada wang atau hadiah ditawarkan untuk memecahkan rekod Guinness World Records ini, namun pengalaman dan kejayaan ini dikenang sepanjang hayat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 10:21 PM