EDAN Syah buktikan kemampuan rakyat Malaysia. FOTO FB Edan Syah
EDAN Syah buktikan kemampuan rakyat Malaysia. FOTO FB Edan Syah
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pelari maraton negara Mohd Syahidan Alias berjaya mencatat rekod baru dunia bagi larian maraton terpantas untuk kategori memakai pakaian tradisional melayu (lelaki) dengan catatan masa 2 jam 49 minit 22 saat di TCS London Marathon 2023 pada Ahad.

Berita gembira memecahkan rekod dunia Guiness itu dikongsikan sendiri pelari berkenaan yang lebih dikenali dengan nama Edan Syah dalam satu hantaran yang dimuatnaik di laman instagramnya.

"Misi berjaya. Kami berjaya capai misi untuk catatan masa bawah tiga jam untuk menjadi pemegang rekod dunia Guinness sebagai pelari maraton paling laju (42.2 km) dalam pakaian tradisional Melayu (lelaki)," tulisnya.

Untuk rekod ini bukanlah kali pertama Edan Syah berjaya mencatatkan rekod dunia apabila sebelum ini melakukannya pada 2019 di Festival Larian Blackmores, Sydney Australia sebagai pelari maraton paling laju dalam kostum bendera negara dengan catatan masa 2 jam 54 minit.

Dalam hantaran yang sama, Edan turut menzahirkan rasa terima kasihnya kepada penaja yang sudi menajanya sehingga berjaya melakukan rekod berkenaan.

"Terima kasih sekali lagi kepada penaja atas kepercayaan, peluang dan menerima idea "luar kotak" saya untuk projek ini.

"Anda berani mencipta penanda aras baharu apa yang boleh dan buat yang mustahil. Terima kasih pengurus saya @jolenehong atas kepercayaan anda dan semua pengaturan dengan GWR (Guinness World Record)," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 2:00 PM