JACKY Hunt-Broersma. FOTO IG Jacky Hunt-Broersma.
JACKY Hunt-Broersma. FOTO IG Jacky Hunt-Broersma.
Agensi

Arizona: Wanita yang menjadikan larian sebagai rutin harian selepas kaki kirinya dipotong kerana kanser mengatasi rekod Guinness World Records untuk larian maraton berturut-turut.

Jacky Hunt-Broersma, 46, berlari 26.2 batu (42.164km) setiap hari sejak pertengahan Januari lalu yang kebiasaannya mengambil masa sekitar lima jam.

Sabtu lalu, dia menamatkan maraton ke-104 berturut-turut dalam masa 104 hari dan pencapaian itu dijangka diiktiraf Guinness World Records.

Jurucakap berkata, tempoh tiga bulan diperlukan untuk mengesahkan dan mengiktiraf pencapaian itu.

Apabila bangun pada pagi Ahad lalu - sehari selepas pencapaian itu dilakukan - adalah pengalaman hebat buat Jacky.

"Sebahagian daripada saya gembira apabila misi itu berjaya dilaksanakan," katanya kepada BBC di rumahnya di Arizona.

"Manakala sebahagian lagi fikiran saya mahu terus berlari."

Tubuh badannya turut pulih daripada usaha mencipta rekod itu, walaupun ia dihentikan seketika.

"Saya rasa lebih kuat berbanding apa dirasakan ketika melakukan 104 maraton," katanya.

Namun, Jacky - yang dilahirkan dan dibesarkan di Afrika Selatan selain pernah dibesarkan di England dan Belanda - amat bersyukur kerana larian memberikannya keyakinan yang dibimbangi tidak mampu dikecapi semula.

Pada 2002, doktor di Belanda mengesahkan dia mengalami 'Ewing sarcoma' iaitu sejenis kanser tulang yang jarang ditemui.

Dalam masa dua minggu, kaki kirinya dipotong untuk menyelamatkan nyawanya dan ketika itu, dia baru berusia 26 tahun.

"Hidup ibarat rollercoaster," katanya. "Semuanya berlaku dengan pantas."

Untuk tempoh beberapa tahun, Jacky bermasalah dengan perubahan dalam dirinya itu.

Dia marah kerana menghidap kanser dan malu dengan kekurangan dialaminya dan kerap memakai seluar panjang supaya orang ramai tidak perasan kecacatannya.

Akhirnya dia menyertai larian pada 2016. Pada mulanya, dia bersorak kepada suaminya yang menyertai larian jarak jauh, tetapi langsung tidak mahu terbabit kerana membayangkan acara itu hanya 'untuk orang gila'.

Selepas membeli prostetik khas untuk pelari jarak jauh, dia kemudian mendaftar acara 10km pertamanya, tetapi kemudian menukar kepada separuh maraton iaitu 21km dan sejak itu, dia tidak lagi menoleh ke belakang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2022 @ 7:16 PM