Asrizal Aris


“WALAUPUN masih terngiang orang ketawakan saya kerana berlari dengan kostum bendera, tetapi kepuasan memecahkan rekod dunia masih terasa sehingga hari ini”.

Itu kata Mohd Syahidan Alias, 32, pelari marathon negara yang memecahkan Guinness World Records dalam acara larian marathon dengan memakai kostum bendera Malaysia di Blackmores Sydney Running Festival tahun lalu.

Mohd Syahidan atau mesra dengan panggilan Edan Syah, berjaya menamatkan larian dalam tempoh 2 jam 54 minit, dengan larian unik iaitu menggayakan pakaian bendera Malaysia.

Rekod larian Guinness World Records terdahulu adalah 3 jam 29 minit dan Mohd Syahidan berjaya memintasnya.

Mohd Syahidan yang juga ketua jurulatih di Smart Atheletics Club (SAC) berkata, pada awalnya dia bimbang tidak berjaya melakukannya kerana cuaca sejuk dan berangin.

“Perasaan malu tetap ada kerana orang ramai yang menonton larian itu mentertawakan saya kerana berpakaian ganjil tidak seperti pelari lain memakai pakaian atlet.

“Tetapi saya tanamkan semangat ‘berani bermimpi’ dan apa yang saya lakukan adalah misi untuk mengharumkan nama negara kerana rekod dicipta atas nama bendera Malaysia.

“Selepas berjaya melakar rekod itu, rasa malu bertukar menjadi puas yang saya dapat rasakan sehingga hari ini,” katanya yang melakar kejayaan itu pada 16 September tahun lalu.

Mohd Syahidan bersama pengiktirafan Guinness World Records sebagai pelari marathon terpantas dengan memakai kostum bendera di Blackmores Sydney Running Festival tahun lalu. FOTO Ihsan Mohd Syahidan Alias
Mohd Syahidan bersama pengiktirafan Guinness World Records sebagai pelari marathon terpantas dengan memakai kostum bendera di Blackmores Sydney Running Festival tahun lalu. FOTO Ihsan Mohd Syahidan Alias

Dia yang dihubungi hari ini berkata, kejayaan itu juga dihadiahkan kepada rakyat Malaysia sempena Hari Kebangsaan semalam dan Hari Malaysia 16 September ini.

Kejayaan itu juga menjadi pencetus untuk Mohd Syahidan mengulangi kejayaan sama pada masa akan datang dalam bidang larian marathon.

Mohd Syahidan berkata, dia mempunyai perancangan jangka masa pendek untuk mencatatkan rekod dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) tahun hadapan.

“Untuk membuat rekod di luar negara mungkin belum lagi kerana saya sibuk dengan tugas menjadi jurulatih kepada orang awam di bawah SAC.

“Insya-Allah saya akan memilih lokasi dan tarikh sesuai untuk membuat rekod di dalam negara dengan niat menaikkan lagi semangat patriotik.

“Usaha ini bukan untuk kepentingan diri tetapi untuk rakyat Malaysia.

“Andai satu hari nanti rekod saya dipecahkan oleh rakyat Malaysia sendiri, saya individu paling bangga,” katanya yang bernaung di bawah Pengurus SAC Jolene Hong.

Pada Hari Malaysia 16 September ini, genap setahun rekod Mohd Syahidan dicatatkan dalam Guinness World Records sebagai individu terpantas berlari marathon dengan memakai kostum bendera negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 5:59 PM
Mohd Syahidan ketika menamatkan larian dengan rekod 2 jam 54 minit. FOTO Ihsan Mohd Syahidan Alias
Mohd Syahidan ketika menamatkan larian dengan rekod 2 jam 54 minit. FOTO Ihsan Mohd Syahidan Alias