GAMBAR hiasan. FOTO Reuters
GAMBAR hiasan. FOTO Reuters
Junita Mat Rasid dan Rizalman Hammim

cnews@nstp. com.my

KERAJAAN Johor hari ini menafikan pelbagai dakwaan berkaitan pembangunan Forest City termasuk mengenai ia tidak memberi hasil kepada kerajaan negeri dan Persekutuan.

Menteri Besar Datuk Osman Sapian berkata, kerajaan negeri menerima penjelasan penuh dari pemaju projek itu, Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) dan menegaskan semua dakwaan itu tidak benar.

“Kerajaan negeri ingin memberi penjelasan terperinci selepas mendapat laporan dari pemaju Forest City.

“Baru dua hari bagi laporan, harap dapat bagi sedikit pencerahan kepada umum supaya tidak ada persepsi negatif terhadap syarikat ini.

“Kita tidak memihak kepada mana-mana pihak tetapi kita perlu menjelaskan perkara ini supaya pelabur tidak bimbang untuk melabur di negeri ini.

“Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pelabur asing melabur di Johor,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kota Iskandar, hari ini.

OSMAN Sapian ketika sidang media bagi menjelaskan isu projek Forest City. FOTO Zain Ahmed
OSMAN Sapian ketika sidang media bagi menjelaskan isu projek Forest City. FOTO Zain Ahmed

Osman berkata, antara dakwaan ialah projek itu tidak menyumbang kepada kerajaan negeri dan Persekutuan dan ia tidak benar sebaliknya Johor menerima RM630 juta hasil dari Forest City membabitkan dividen dan bayaran lain termasuk premium tanah serta cukai.

Katanya, kerajaan Persekutuan juga sudah menerima keseluruhan RM83 juta termasuk RM14 juta cukai korporat hasil projek.

Beliau berkata, syarikat induk CGGV, Country Garden Holdings juga menyumbang RM399 juta kepada Persekutuan dalam bentuk pelbagai cukai termasuk cukai korporat.

“CGPV sudah melabur keseluruhan RM11.5 bilion dalam projek ini sejak Julai 2018.

“Mereka juga memberi kontrak bernilai RM1.4 bilion kepada 150 syarikat tempatan, selain pekerja di projek itu menyumbang RM51 juta membabitkan cukai pendapatan,” katanya.

Osman berkata, dakwaan bahawa 700,000 warga asing terutama dari China akan tinggal di Forest City apabila projek itu siap juga tidak tepat.

“Angka itu sebenarnya jumlah keseluruhan termasuk warga tempatan, profesional, pelancong dan pelajar,” katanya.

Osman berkata, dakwaan bahawa transaksi pembelian hartanah di Forest City dikendalikan di luar negara dan tiada wang masuk ke Malaysia juga tidak tepat.

“Semua transaksi berkaitan projek termasuk perjanjian jual beli perlu dilakukan di Malaysia dan mengikut undang-undang ditetapkan termasuk Akta Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1995.

“Sehingga hari ini kami sudah menyemak dengan CGPV dan mereka mempunyai dana sehingga RM2 bilion dalam akaun pihak berkuasa pembangunan perumahan (HDA) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ada akses penuh untuk mengesahkan jumlah ini.

“Jumlah yang ada dalam akaun HDA memang dikekalkan dan diaudit mengikut garis panduan dan peraturan HDA kerana duit ini disimpan sehingga projek ini selesai baru boleh dikeluarkan.

“Jika projek ini ada kecacatan atau terbengkalai duit inilah digunakan untuk memastikan projek ini berjalan lancar,” katanya.

Osman berkata, kerajaan negeri percaya bahawa Malaysia mempunyai sistem perundangan yang komprehensif untuk menjaga hak pelabur termasuk pembeli hartanah.

“Kita akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa berkaitan. Kita juga akan memastikan CGPV memberi penjelasan berkaitan pelbagai isu melalui cara wacana dan mesyuarat.

“Kerajaan negeri juga mempercayai keupayaan Kerajaan Persekutuan untuk bersikap adil dalam melindungi syarikat asing yang menjalankan perniagaan di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 2:42 PM